Saturday, July 20, 2013

Dibawah Lindungan Ka'bah

. Saturday, July 20, 2013

Dibawah Lindungan Ka'bah **
SURAT DARI MESIR
Sahabat! Sudah saya terima surat sahabat yang terkirim dalam bulan yang lalu. Mula-mula saya sangat bersedih hati sebab semenjak kita bercerai di Jeddah, tak pernah
saya menerima surat lagi daripada engkau. Tetapi setelah surat itu saya terima saya
baca, hilanglah sedih dan duka saya, nyata bahawa engkau tidak melupakan saya.
Maksudnya engkau terangkan itu, sangat saya setujui, itulah suatu maksud yang baik,
sebab itu adalah suatu hikayat dan kejadian yang mendukakan hati dan merawankan
fikiran, yang kerapkali benar terjadi di dalam lingkungan belia-belia kita.
Saya setuju maksud sahabat itu, pertama adalah karangan yang engkau maksudkan
itu, akan ganti bingkisan (persembahan) kita kepada orang-orang yang menjadi korban
itu, hantaran kepada arwah mereka yang suci; kedua ialah untuk menjadi cermin
perbandingan orang-orang yang hidup kemudian daripada mereka. Bukan sedikit belia-belia yang telah menanggung sebagai orang yang telah ditanggung oleh kedua orang
itu, tetapi sukar orang yang selamat sampai ke akhirnya.
Padahal "rindu dendam" atau "cinta berahi" itu laksana Lautan Jawa, orang yang tidak
berhati-hati mengayuh perahu memegang kemudi dan menjaga layar, karamlah ia
diguling oleh ombak dan gelombang, hilang ditengah samudera yang luas itu, tidak
akan tercapai selama-lamanya tanah tepi. Tidak ada bantuan yang dapat saya berikan
kepada engkau di dalam pekerjaan itu, hanya bersama ini saya kirimkan surat-surat
yang semasa kita masih di Makkah tak sempat saya berikannya kepada engkau. Demi
apabila buku ini telah selesai, kirimkanlah kiranya kepadaku barang senaskah, guna
menghidupkan kenang-kenanganku pada masa yang telah lampau, semasa itu kita
masih dibawah Lindungan Kaabah.
Sahabatmu.
MEKKAH PADA TAHUN 1927
Harga getah di Jambi, di seluruh tanahair sedang naik, negeri Mekah baharu sahaja
pindah dari tangan Shariff Hussin ke tangan Ibn Sa'ud, Raja Hijaz dan Najad dan
daerah takluknya yang kemudian ditukarkan namanya menjadi kerajaan "Arabiah
Sa'udiah". Setahun sebelum itu telah naik haji dua orang yang kenamaan dari negeri
kita. Keamanan negeri Hijaz, telah tersiar. Kerana itu banyak orang yang berniat
menyempurnakan Islam yang kelima itu. Tiap-tiap kapal haji yang berangkat menuju
Jeddah penuh sesak memebawa jemaah haji.
Konon khabarnya, belumlah pernah orang naik haji seramai tahun 1927 itu, baik
sebelum atau pun sesudahnya. Ketika itulah saya naik haji. Dari pelabuhan Belawan
saya telah belayar menuju ke Jeddah menumpang kapal "Karimata". Empat belas hari
lamanya saya terkatung-katung di dalam lautan besar. Pada hari kelima belas
sampailah saya dipelabuhan Jeddah, pantai Laut Merah itu.
Dua hari kemudian saya pun sampai ke Mekah tanah suci kaum Muslimin sedunia.
Betapa besar hati saya ketika melihat ka'bah tidaklah dapat saya perikan, kerana dari
kecilku sebagai kebiasaan tiap-tiap orang Islam, Ka'bah dan menara Masjidil Haram
yang tujuh itu menjadi kenang-kenanganku. Saya injak tanah suci itu dengan
persangkaan yang baik, saya hadapi tiap-tiap orang yang mengerjakan ibadat dengan
penuh kepercayaan, bahwa mereka pun berasa gembira iaitu sebagaimana yang saya
rasai itu saya tidak akan bertemu dengan kejadian-kejadian yang ganjil atau hikayat
yang sedih daripada penghidupan manusia. Sebab sangka saya tentu sahaja selain
daripada diri saya sendiri, oran-orang yang datang kesana itu adalah orang-orang yang
gembira dan yang mampu banyak tertawanya daripada tangisannya. Tetapi rupanya, di
mana-mana jua di atas dunia ini; asalkan sahaja ditempati manusia, kita akan bertemu
dengan yang tinggi dan yang rendah, kesukaan dan kedukaan, tertawa dan ratapan
tangis.
Saya telah mendengar di antara azan (bang) yang sayup-sayup sampai di puncak
menara yang tujuh, di antara gemuruh doa manusia sedang berkeliling (tawaf) di
sekeliling Ka'bah, di antara takbir umat yang sedang pergi balik di antara Safa dan
Marwah, saya telah mendengar ratap dan rintih seorang makhluk tuhan, sayu-sayup
sampai antara ada dengan tiada hilang-hilang timbul di dalam gemuruh yang hebat itu.
Sebagai kebiasaan jemaah yang datang dari Tanah Jawa, saya menumpang di rumah
seorang syeikh yang pekerjaan dan pencariannya semata-mata daripada memberi
tumpangan bagi orang-orang haji, di hadapan bilik yang telah ditentukan oleh seorang
syeikh untuk saya, ada pula sebuah bilik kecil yang muat dua orang. Disana tinggal
seorang belia yang yang baharu berusia 32 tahun, badannya kurus lampai, rambutnya
hitam berminyak, sifatnya pendiam, suka bermenung seorang diri di dalam biliknya itu.
Biasanya sebelum kedengaran azan subuh ia lebih dahulu bangun pergi ke masjid
seorang diri.
Menurut keterangan syeikh kami belia itu berasal dari Sumatera, datang pada tahun
yang lalu, jadi ia adalah seorang yang telah bermukim di Mekah. Melihat kebiasaannya
demikian dan sifatnya yang soleh itu, saya menaruh hormat yang besar atas dirinya dan
saya ingin hendak berkenalan. Maka dalam dua hari sahaja berhasillah maksud saya
itu; saya telah beroleh seorang sahabat yang mulia patut dicontohi.
Hidupnya sangat sederhana, tiada lalai daripada beribadat, tiada suka membuang-buang waktu kepada yang tidak berfaedah, lagi pula sangat suka memerhatikan buku-buku agama, terutama kitab-kitab yang menerangkan kehidupan orang-orang yang
suci, ahli-ahli tasauf yang tinggi. Bila saya terlanjur mempercakapkan dunia dan hal
ehwalnya, dengan sangat halus dan tiada terasa percakapan itu dibelokkannya kepada
ke halusan budi-pekerti dan ketinggian kesopanan agama, sehingga akhirnya saya
terpaksa tunduk dan memandangnya lebih mulia daripada biasa.
Baru dua bulan sahaja semenjak dari awal Ramadhan sampai Syawal, pergaulan saya
dengannya, saya telah banyak tertarik olehnya di dalam menuju kesucian, terutama di
dalam negeri yang semata-mata untuk beribadat itu. Tetapi pergaulan yang baik itu
tiba-tiba telah terusik sebab dengan kapal yang paling akhir telah tiba seorang teman
baru dari Padang. Entah kerana kebetulan sahaja atau atau disengaja lebih dahulu, ia
telah menjadi jemaah sheikh kami pula. Sahabat saya yang baru tiba ini sangat terkejut
melihat bahawa sahabat saya ada di Mekah. Rupanya tidak disangka-sangkanya
mereka akan berjumpa disana dan sahabat saya pun rupanya tidak menyangka akan
berjumpa dengan sahabat baru itu. 
Nama sahabat saya ialah hamid dan nama saudara baru itu Salleh. Salleh menurut
keterangannya, hanya dua atau tiga hari sahaja sebelum naik haji akan tinggal di
Mekah, ia akan pergi ke Madinah lebih dahulu; dua tiga hari pula sebelum jemaah haji
ke Arafah ia akan balik ke Mekah. Setelah selesai mengerjakan haji, ia akan
meneruskan perjalanannya ke Mesir, menyambung pelajarannya.
Setelah musta'id maka Salleh pun berangkat ke Madinah.Ketibaan sahabat baru itu
mengubah keadaan-keadaan dan sifat-sifat Hamid, entah khabar apakah yang agaknya
yang baru di bawa darinya dari kampung yang mengganggu kesejahteraan fikiran
Hamid. Ia bertambah tekun membaca kita-kitab terutamanya tasauf karangan Imam Al-Ghazali. Terkadang-kadang kelihatan ia termenung seorang diri di atas satah (atap
rumah yang mendatar sepeti rumah-rumah di negeri Arab) rumah tempatnya tinggal
melihat tenang-tenang kepada qal'ah (bintang-bintang) tua di atas puncak Jabal Hindi.
Saya seakan-akan tidak pedulikannya lagi.
Sedang saya mengerjakan tawaf keliling ka'bah maka terlihat oleh saya ia bergantung
kepada kaswah (kain tabir yang melingkungi Ka'bah) menengadahkan mukanya
kelangit, airmatanya menitik dengan derasnya membasahi serban yang membalut
dadanya, kedengaran pula ia berdoa: Ya Allah! Kuatkanlah hati hambamu ini!"
Sebenarnya saya ini pun seorang yang lemah hati, kesedihan itu telah pindah kedada
saya, meski pun saya tak tahu apa yang disedihkannya. Khabar apakah yang agaknya
yang telah dibawa oleh Salleh dari kampung? Apakah sebab Hamid bersedih hati
demikian rupa? Dunia yang manakah yang telah memutuskan harapannya? Tipudaya
siapakah yang telah melukai hatinya, hingga ia menjadi demikian rupa itu? Itu sentiasa
menjadi soal kepada saya.
Pada suatu malam, sedang ia duduk seorang dirinya di atas satah, pada sebuah bangku
yang bertikar daun kurma berjalin memandang kepada bintang-bintang yang
memancarkan cahayanya yang indah di halaman langit, saya beranikan hati saya dan
saya dekati dia. Maksud saya kalau dapat hendak membahagi kedukaan itu atau
merentang-rentang barang sedikit kedukaan hatinya. " Saudara Hamid!" – kata saya.
"Oh saudara, duduklah kemari!" –  katanya pula sambil memperbaiki duduknya dan
mempersilakan saya. Setelah sama-sama duduk, ia pun menanyakan keramaian orang
haji dan kami pun memperkatakan keadaan pada tahun ini. Tiap-tiap perkataan
terhadap kepada tanahair, pembicaraan diputarnya kepada yang lain, serupa ia tak
suka. Maka akhirnya hati saya tiada tahan lagi, saya pun berkata: " Sudah lama saya
perhatikan hal ehwal kamu, saudara, rupanya engkau dalam dukacita yang amat
sangat. Agaknya engkau kurang percaya kepada saya, sehingga engkau tak mahu
menyatakan kedukaan itu dengan saya. Sebagai seorang kawan, yang wajib berat sama
memikul dan ringan sama menjinjing apa lagi jauh dari tanahair, sewajibnyalah saya
engkau beritahu, apakah yang menyusahkan hati engkau sekarang, sehingga banyak
perubahanmu daripada yang biasa?" Ia memandang kepada saya dengan tenang. "
Katakanlah kepada saya, wahai sahabat!" – ujar saya pula.
" Saya akan menolong engkau sekadar tenaga yang ada pada saya.Kerana meski pun
kita belum lama bergaul, saya telah tahu bahawa engkau adalah seorang yang
budiman, saya tidak akan mensiakan kepercayaan engkau kepada diri saya." " Ini satu
rahsia tuan!" –  katanya. " Saya akan pikul rahsia itu jika engkau percayakan kepada
saya dan saya akan masukkan ke dalam perbendaharaan hati saya dan kemudian saya
kunci pintunya erat-erat. Kunci itu akan saya lemparkan jauh-jauh sehingga seorang
pun tak dapat mengambilnya kedalam lagi.
Mendengar perkataan saya itu mukanya kembali tenang dan ia pun berkata:" Jika telah
demikian tuan berjanji, tentu tuan tidak akan mensiakan janji itu dan saya telah
percaya penuh kepada tuan, kerana kebaikan budi tuan dalam pergaulan kita selama
ini. Saya akan menerangkan kepada tuan sebab-sebab saya bersedih hati dan akan
saya paparkan satu-persatu, sebagaimana berkata-kata dengan hati saya sendiri.
Memang, saya harap tuan simpan citra diri saya selama saya hidup, tetapi jika saya
lebih dahulu meninggal daripada tuan, sapa tahu ajal di dalam tangan Allah S.W.T,.
Saya izinkan tuan menyusun hikayat ini baik-baik, mudah-mudahan ada orang yang
akan suka meratap memikirkan kemelaratan nasib saya, meskipun mereka tak tahu
siapa saya. Moga-moga air matanya akan menjadi hujan yang dingin dan memberi
rahmat kepada saya ditanah perkuburan." Air mata saya terpercik mendengarkan
perkataan itu. Ia bermenung kira-kira dua atau tiga minit; di antara gemuruh suara
manusia yang hampir sunyi di dalam Masjidil Haram itu, di antara doa-doa beribu-ribu
makhluk yang sedang berangkat ke hadrat Tuhan sahabatku itu mengumpulkan
ingatannya. Awan gelap yang menutup keningnya hilanglah dari sedikit ke sedikit;
setelah itu ia menarik nafas panjang, seakan-akan mengumpulkan ingatan yang
bercerai-cerai dan ia pun memulai perkataannya.
ANAK YANG KEMATIAN AYAH
Masa saya masih berusia empat tahun, ayah saya telah meninggal, ia telah
meninggalkan saya sebelum saya kenal siapa dia dan betapa rupanya, hanya di dinding
masih saya dapati gambarnya, gambar semasa ia masih muda, gagah dan manis. Ia
telah meninggalkan saya dan ibu di dalam keadaan yang sangat melarat. Rumah
tempat kami tinggal hanya sebuah rumah kecil yang telah lama, yang lebih dikenal kalu
disebut gobok atau dangau. Kemiskinan kami telah menjadikan ibu putus harapan
memandang kehidupan dan pergaulan dunia ini, kerana tali tempat bergantung sudah
putus dan tanah tempat berpijak sudah runtuh. Hanyalah saya yang tinggal, jerat
semata, tempat dia menggantungkan pengharapan untuk zaman yang akan datang,
zaman yang masih gelap. Meskipun pada masa itu ibu masih muda dan ada juga dua
tiga orang dari kalangan saudagar-saudagar atau orang-orang berpangkat yang
memintanya menjadi isteri, tetapi semuanya telah ditolaknya dengan perasaan yang
sangat terharu. Hatinya belum lupa kepada almarhum ayah, semangatnya boleh
dikatakan telah mengikutinya ke kuburan. Pada waktu malam, ketika akan tidur, kerap
kali ibu menceritakan kebaikan ayah semasa ia hidup; ia seorang terpandang dalam
pergaulan dan amat besar cita-citanya jika saya besar, akan menyerahkan saya masuk
sekolah supaya saya menjadi orang yang terpelajar.
Masa itu daun sedang rimbun, bunga sedang kembang dan buah sedang lebat, orang
pun datanglah berduyun-duyun menghampirkan diri, ini menghampirkan diri, ini
mengatakan mamak, itu mendakwa bersaudara, berkarib famili, rumah-tangga sentiasa
dapat kunjungan dari kiri dan kanan. Tetapi setelah perniagaan jatuh dan kemelaratan
menjadi ganti segala kesenangan itu, tersisihlah kedua laki-isteri itu dari pergaulan,
tersisih dan renggang dari sedikit ke sedikit. Oleh kerana malu ayah pindah ke Kota
Padang, tinggal dalam rumah kecil yang kami diami itu, supaya namanya hilang sama
sekali dari kalangan kaum kerabat itu. Ibu pun menunjukkan kepada saya beberapa
doa dan bacaan, yang menjadi wirid daripada almarhum ayah semasa hidup,
menghamparkan penghargaan yang besar-besar kepada Tuhan seru sekalian alam,
memohonkan belas kasihanNya. Kerana di dalam umur yang semuda itu ia telah di
timpa sengsara yang tiada keputusan, tidaklah sempat saya meniru meneladani teman
sama anak-anak. Waktu teman-teman bersukaria bersenda gurau, melepaskan hati
yang masih merdeka, saya hanya duduk dalam rumah dekat ibu, mengerjakakan
pekerjaan yang dapat saya tolong, Kadang-kadang ada juga disuruh saya bermain-main, tetapi hati saya tiada dapat bergembira seperti teman-teman itu, tetapi
kegembiraan bukanlah saduran dari luar, tetapi terbawa oleh sebab-sebab yang boleh
mendatangkan gembira itu. Apa lagi kalau saya ingat, bagaimana ia kerap kali
menyembunyikan airmata dekat saya, sehingga saya tak sanggup menjauhkan diri
daripadanya.
Setelah badan saya agak besar, saya lihat banyak anak-anak yang sebaya saya berjaja
kuih; maka saya mintalah kepadanya supaya dia sudi pula membuat kuih-kuih itu, saya
sanggup menjualkannya dari lorong ke lorong, dari satu beranda rumah orang ke
beranda yang lain, mudah-mudahan dapat meringankan agak sedikit tanggungan yang
berat itu. Permintaan itu terpaksa dikabulkannya, sehingga saya akhirnya telah menjadi
seorang anak penjual kuih yang terkenal. Hatinya kelihatan duka memikirkan nasib
saya; anak-anak yang lain waktu pagi masuk bangku sekolah, saya sendiri tidak. Untuk
penjualan kuih-kuih itu hanya cukup untuk makan sehari-hari, orang lain pun tak ada
tempat meminta Bantu, sakit senang adalah tanggungan sendiri. Umur saya telah
masuk enam tahun, setahun lagi saya mesti menduduki bangku sekolah, walaupun
sekolah yang semurah-murahnya, sekolah desa, misalnya, tetapi yang akan menolong
dan membantu tak ada sama sekali, tetapi ibu kelihatan tidak putus harapan, ia berjanji
akan berusaha. Supaya kelak saya menduduki bangku sekolah, membayarkan cita-cita
almarhum suaminya yang sangat besar angan-angannya, supaya saya kelak menjadi
orang yang berguna dalam pergaulan hidup. Masa setahun lagi ditunggu dengan sabar.
PENOLONG
Enam bulan kemudian. Berhampiran dengan rumah kami ada sebuah gedung besar
berpekarangan yang cukup luas; dalam perkarangan itu ada juga ditanam buah-buahan
yang lazat seperti sauh dan rambutan.Rumah itu lama tinggal kosong, kerana tuannya
seorang Belanda telah balik ke Eropah dengan mendapat pencen. Yang menjaga rumah
itu selama ini adalah seorang jongos tua. Khabarnya konon rumah itu akan dijual,
sebab tuan itu tidak balik lagi ke negeri ini. Selama itu kerap kali kami datang ke situ
meminta buah rambutan dan sauh kepada Pak Leman. Demikian juga nama jongos tua
itu. Tiba-tiba rumah itu diperbaiki, kerana telah dibeli oleh seorang saudagar tua yang
hendak
berhenti dari berniaga. Ia akan hidup pada hari tua dengan senang, sebagai berehat
daripada pekerjaannya yang berat pada masa ia muda memakan hasil daripada rumah-rumah sewa yang banyak di Padang dan di Bukit Tinggi, demikian juga sawah-
sawahnya yang luas di sebelah Paya Kumbuh dan Lintau. Setelah rumah itu selesai
diperbaiki, pindahlah orang hartawan itu ke sana bersama dengan isteri dan seorang
anak perempuannya.
Di hadapan rumah itu di atas batu marmar yang licin ada tertulis perkataan; Haji Jaafar.
Tiap-tiap pagi saya lalu di hadapan rumah itu menjunjung nyiru berisi goring pisang,
mata saya sentiasa memandang ke jendela-jendelanya yang berlangsir kain sutera
kuning, hendak melihat keindahan perhiasan rumahnya. Fikiran saya menjalar,
memikirkan kesenangan hati orang yang tinggal dalam rumah itu, cukup apa yang
dimakannya dan diminumnya; airliur saya meleleh bila saya ingat, bahawa kami di
rumah kadang-kadang makan, kadang-kadang tidak. Setelah saya meninggalkan
halaman rumah itu, maka dengan suara yang merawankan hati saya panggilkan jualan
saya; "Beli goreng pisang! Masih panas!"
Lama kelamaan tertariklah perempuan yang setengah tua itu hendak memanggil jualan
saya, demikian juga anaknya. Pernah kedengaran oleh saya ia berkata: " Panggillah
Nab kesian juga saya!" Perempuan itu suka memakan sirih, mukanya jernih, peramah
dan penyayang. Pak Leman yang telah menjadi jongos untuk memelihara perkarangan
itu, belum pernah dapat suara keras daripadanya. Anak perempuannya itu masih kecil,
sama dengan saya. Apa perintah ibunya diikuti dengan patuh, rupanya ia amat
disayangi kerana anaknya hanya seorang itu. Sudah dua tiga kali saya datang ke rumah
indah dan bagus itu; setiap kali saya datang bertambah sukanya melihat kelakuan saya
dan belas kasihan akan nasib saya. Pada suatu hari perempuan itu bertanya kepada
saya; " Di mana engkau tinggal anak, dan siapa ayah bondamu?" " Saya tinggal dekat
sahaja di sini mak"-jawab saya. " Itu rumah tempat kami tinggal, di seberang jalan.
Ayah saya telah mati dan saya tinggal dengan ibu saya. Beliaulah yang membuat kuih-kuih ini; pagi-pagi saya berjual goreng pisang dan kalau petang biasanya menjual rakit
udang (jengket udang) atau godok perut ayam." " Berapakah keuntungan sehari?"
tanyanya pula. " Tidak tentu, mak. Kadang-kadang kalau untung baik dapat setali (25
sen), Kadang-kadang kalau kurang dari itu, sekadar cukup untuk kami makan setiap
hari… ." " Kasihan… ." –  katanya sambil menarik nafas. Setelah itu ia berkata pula: "
Bawalah ibumu nanti petang kemari, katakana mak yang baru pindah ke rumah ini
hendak berkenalan dengan ibu." " Saya mak, ibu saya kurang benar keluar dari rumah."
" Suruh lah sahaja kemari, katakan mak perlu hendak bertemu." " Baiklah kalau begitu ,
mak" –  jawab saya.
Setelah itu saya pun pulang, sampai di rumah saya katakanlah kepada ibu perkataan
orang di gedung besar itu. Mula-mula ibu seakan-akan hendak bertempik, dia agak
marah kepada saya, kalau-kalau saya telah berlangsung mulut menerangkan untung
nasib diri kepada orang lain. Tetapi setelah mendengar keterangan saya, hatinya pun
senang. Pada petangnya takut-takut cemas pergilah dia ke rumah besar itu. Meskipun
ibu saya merasa malu-malu dan insaf akan kerendahan darjatnya, Mak Asiah, demikian
nama isteri Engku Haji Jafar itu, sekali-kali tiada meninggikan diri, sebagai kebiasaan
perempuan-perempuan isteri orang hartawan atau orang berpangkat yang lain. Bahkan
ibuku dipandangnya sebagai saudaranya, segala nasib dirinya dan penanggungan ibu
didengarnya dengan tenang dan muka yang rawan, kadang-kadang ia pun turut
menangis waktu ibu menceritakan hal yang sedih-sedih. Sehingga waktu cerita itu
habis, terjadilah di antara keduanya persahabatan yang kental, harga menghargai dan
cinta menyintai.
Semenjak itu saya sentiasa datang ke rumah itu. Saya sudah beroleh seorang adik yang
tidak berapa tahun kecilnya daripada saya, yaitu anak perempuan di gedung besar itu,
Zainab namanya. Peribahasa yang halus dari Mak Asiah, adalah didikan juga daripada
suaminya, seorang hartawan yang amat peramah kepada fakir dan miskin. Konon
khabarnya, kekayaan yang di dapatnya itu adalah daripada usahanya sendiri dan titik
peluhnya, bukan waris daripada orang tuanya. Dahulunya dia seorang yang melarat
juga, tetapi berkat yakinnya, terbukalah baginya pintu pencarian. Sungguhpun ia telah
kara-raya, sekali-kali tidaklah ia lupa kepada keadaannya tempoh dahulu, ia sangat
insaf melihat orang-orang yang melarat, lekas memberi pertolongan kepada orang yang
berhajat. Pada suatu pagi saya datang mendapatkan ibu saya dengan perasaan yang
sangat gembira, membawa khabar suka yang sangat membesarkan hatinya, iaitu esok
Zainab akan dihantarkan ke sekolah dan saya akan dibawa sama. Saya akan
disekolahkan dengan belanja Haji Engku Jaafar sendiri bersama-sama anaknya.
Mendengar perkataan itu bercucuran airmata ibuku kerana sukacitanya, kejadian
selama ini yang sangat diharap-harapnya. Esok paginya, saya saya tidak menjunjung
nyiru tempat kuih lagi, tetapi telah pergi ke sekolah menjunjung batu tulis. Agaknya
dua macam faedah yang akan diambil oleh Engku Haji Jaafar menyerahkan saya,
pertama untuk menolong saya, kedua untuk jadi teman anaknya. Saya pun insaf, lebih-lebih setelah beberapa nasihat daripada ibuku. Zainab telah saya pandang sebagai adik
kandung, saya jaga daripada gangguan murid-murid yang lain. Lepas dari sekolah
kerapkali saya datang dengan ibu ke rumah besar itu, kalau-kalau ada yang patut kami
Bantu dan kami tolong, kerana kami telah dipandang sebagai anggota rumah yang
besar itu. Umur saya lebih tua daripada Zainab dua tahun. Meskipun saya hanya anak
yang beroleh pertolongan daripada ayahnya, sekali-kali tidaklah Zainab menganggap
saya sebagai orang lain lagi, tidak pula ia pernah mengangkat diri, agaknya kerana
kebaikan didikan ayah-bondanya. Cuma di sekolah, anak-anak orang kaya kerapkali
menggelakkan saya anak yang berjual goreng pisang telah bersekolah bersama-sama
dengan anak orang hartawan. Dua perkataan yang manis, yang timbul daripada hati
yang suci, telah merapatkan kami, perkataan itu ialah abang dan adik. Sampai
sekarang, saya masih teringat nikmat kehidupan dalam dunia anak-anak yang kerapkali
diratapi oleh ahli-ahli sya`ir, yang hanya datang sekali ke alam manusia selama
hidupnya. Waktu
itu bila pulang dari sekolah, saya dan Zainab bersama teman-teman kami yang lain
berlari-lari, berkejar-kejaran dan bermain galah dalam perkarangan rumahnya,
memanjat pohon rambutan yang sedang ranum, kekadang bercari-carian dan bersorak-sorak. Waktu itu ibuku dan ibunya sedang duduk di beranda belakang; ibuku sentiasa
merendahkan diri, melihat kami yang rasa sukacita. Kadang-kadang waktu petang kami
duduk di beranda muka, membelek buku gambar, bertengkar dan berkelahi, kemudian
damai pula. Hari Minggu kami diizinkan pergi ke tepi laut. Ke muara atau ke tepi Batang
Arau, melihat perahu pengail yang sedang di lambung-lambungkan gelombang di
tengah lautan yang luas, kain layarnya dipuput oleh angin yang menghantarkannya ke
tengah, akan mencari rezekinya. Negeri Pariaman hijau nampaknya dari jauh, ombak
memecah dan menderum tiada berhenti memukul pasir tepi itu.
Di sana kami berlari-larian mengejar ambai-ambai yang segak dan lekas lari ke
sarangnya. Kadang-kadang kami buat unggunan pasir sebagai rumah-rumah atau
masjid-masjid, tiba-tiba datang ombak yang agak besar, di hapuskannya unggunan
yang kami dirikan itu; anak-anak perempuan lari ke tepi menyinsingkan tepi bajunya,
takut tersiram air laut. Waktu orang berlimau, sehari akan puasa, kami dibawa ke atas
puncak Gunung Padang, kerana di sanalah ayahku berkubur, dan beberapa famili ibu
Zainab. Saya disuruh membawa air wangi dalam botol. Zainab mambawa bunga-bungaan dan ibuku serta ibunya mengiringi dari belakang.
Semuanya masih tergambar dalam fikiran saya hari ini, masih saya ingat bahawa
persaudaraan kami suci dan ikhlas adanya, dari tahun berganti tahun, sampai kami
tamat dari sekolah pertengahan. Amat besar budi Engku Haji Jaafar kepada saya,
banyak kepandaian yang telah saya peroleh kerana kebaikan budinya itu.
Dari sekolah rendah (H.I.S) saya sama-sama naik dengan anaknya menduduki Mulo.
Tetapi setelah tamat dari sana, sekolah kami tak akan disambung lagi, kerana
sebenarnya didikan ibuku amak melekat kepada diri saya, iaitu condong kepada
mempelajari agama. Zainab pun hingga itu pelajarannya, kerana dalam adat orang
hartawan dan bangsawan di Padang, kemajuan anak perempuan itu hanya terbatas
hingga Mulo, belum berani mereka melebihi dari kebiasaan umum, melepaskan anak
perempuannya belajar jauh-jauh.
Setelat tamat dari mulo, menurut adat, Zainab masuk dalam pingitan, ia tidak akan
dapat keluar lagi kalau tidak ada satu keperluan yang sangat penting, ini pun harus
ditemani oleh ibu atau orang kepercayaannya, sampai datang masanya bersuami kelak.
Dan saya, bila sekolah itu tamat, akan berangkat ke Padang Panjang, sebab Engku Haji
Jaafar masih sanggup membelanjai saya, apa lagi demikianlah cita-cita ibuku.
APAKAH NAMANYA INI?
Saat yang ditakutkan itu pun telah datang; dengan hati riang, bercampur masyghul,
saya terpaksa meninggalkan bangku sekolah. Riang, kerana saya telah beroleh diploma
dan masyghul kerana berpisah dengan bangku sekolah dan dengan teman-teman.
Ertinya masa gembira, masa menghadapi zaman yang akan datang dengan penuh
kepercayaan, telah habis. Setelah guru membahagikan diploma kami masing-masing
dengan bersorak-sorak kami meninggalkan perkarangan sekolah, kami bersalam-salaman satu dengan yang lain dan guru memberi kami peringatan, supaya sekolah
kami diteruskan bagi siapa yang sanggup Anak-anak Belanda dan beberapa anak
saudagar-saudagar yang mampu, dengan megah menyatakan di hadapan teman-temannya, bahawa sekolah itu akan diteruskannya; setelah habis cuti tahunan, mereka
akan berangkat ke tanah Jawa mengambung pelajarannya. Saya sendiri, tidaklah saya
khabarkan bahawa saya akan menambah pelajaran agama, kerana selama ini teman-teman mengejekkan saya, mengatakan saya gila agama. Yang berasa sedih sangat,
adalah anak-anak perempuan yang masuk pingitan (Terkurung di rumah saja) tamat
sekolah bagi mereka ertinya suatu sangkar yang telah sedia buat seekor burung yang
bebas terbang. Zainab sendiri, semenjak tamat sekolah, ia pun telah tetap dalam
rumah, didatangkan baginya guru dari luar yang akan mengajar berbagai-bagai
kepandaian yang perlu bagi anak-anak perempuan, seperti menyulam, merenda,
memasak dan lain-lainnya. Petang hari ia menyambung pelajarannya dalam perkara
agama. Saya, tidak beberapa bulan setelah tamat sekolah, berangkat ke Padang
Panjang, melanjutkan cita-cita ibu saya dan kerana kemurahan Engku Haji Jaafar juga.
Sekolah-sekolah agama yang ada di situ mudah sekali saya masuki, kerana lebih dahulu
saya telah mempelajari ilmu umum; saya hanya tinggal memperdalam pengertian
dalam perkara agama saja, sehingga akhirnya salah seorang guru memberi fikiran,
menyuruh saya mempelajari agama di luar sekolah saja, sebab kepandaian saya lebih
tinggi dalam hal ilmu umum daripada kawan-kawan yang lain. Demikian lah pelajaran
itu telah saya tuntut dengan bersungguh hati, tetapi… . Semenjak mula saya pindah ke
Padang Panjang, sentiasa saya merasa keseorangan. Kian lama saya tinggal dalam
negeri dingin itu, kian terasa oleh saya bahawa saya sebagai seorang yang terpencil.
Keindahan alam yang ada di sekeliling kota dingin itu menghidupkan kenang-kenangan
saya kepada hal-hal yang telah lalu. Gunung Merapi dengan kemuncak tandikat waktu
matahari akan terbenam dan mempertaruhkan jabatan memberi cahaya kepada bulan,
singlang yang sentiasa diliputi dengan kebun-kebun tebunya yang beriak-riak ditiup
angin, semuanya membangkitkan perasaan-perasaan yang ganjil, yang sangat
mengganggu fikiran saya. Saya berasa sebagai seorang yang kehilangan, padahal jika
saya periksa penaruhan saya, peti, meja tulis, kain dan baju semuanya cukup. Teapi
badan saya ringan, seakan-akan suatu kecukupan yang telah kurang. Saya Cuma ingat,
bahawa jika dengan teman-teman sama sekolah saya pergi melihat keindahan air terjun
di Batang Anai atau mendaki Bukit Tuai, atau gua Batu Sungai Anduk, bila masa saya
melihat keindahan ciptaan alam itu, saya ingat alangkah senang hati Zainab jika ia turut
melihat pula. Kerana saya tahu betul bahawa ia seorang anak perempuan yang dalam
perasaannya; waktu sama-sama sekolah, ia sukar benar mendengarkan nyanyian-nyanyian yang sedih, walaupun nyanyian Barat atau Timur. Bila mana lalu dihadapan
rumahnya seorang buta bersama-sama cucunya yang kecil, kerapkali ia menitikkan
airmata. Bagaimanakah perasaannya kelak jikalau dia ada pula di tempat yang indah
itu? Sentiasa saya hitung pertukaran hari ke bulan dan dari bulan ke tahun. Apabila cuti
sekolah bagi bulan puasa telah hampir, gembiralah hati saya kerana akan dapat saya
mengadap ibu saya memaparkan di hadapannya bahawa ia sudah patut gembira
kerana anaknya ada harapan akan menjadi orang alim dan dapat pula bersimpuh di
hadapan Engku Haji Jaafar yang dermawan, bahawa pertolongannya ada harapan akan
berhasil, bersimpuh pula di hadapan Mak Asiah kerana dengan pertolongannya saja
saya telah menjadi orang baik.
Kemudian dari itu akan dapat pula bertemu dengan Zainab. Saya akan nyatakan di
hadapannya pengalaman yang telah saya dapat selama pergi menuntut ilmu, dan saya
hadiahkan kepadanya gambar dari "Panorama" keliling kota Padang Panjang yang saya
ambil gambarnya bersama-sama teman sejawat saya. Tentu akan saya terangkan di
hadapannya dengan gembira, dengan besar hati, sehingga ia akan termanggu-manggu
mendengar cerita saya, apa lagi ia amat sukar akan dapat keluar dari lingkungan
rumahnya. Apabila sekolah saya tutup, segala segala cita-cita yang telah saya reka
selama belajar, dan telah saya susun di jalan antara Padang Panjang dengan Padang
semuanya dapat saya jalankan; ibu saya menitik airmata kerana kegirangannya, Engku
Haji Jaafar tersenyum mendengar saya mengucapkan terima kasih. Mak Asiah memuji-muji saya sebagai seorang anak yang berbudi, Cuma ketika berhadapan dengan Zainab
dalam rumahnya, mulut saya tertutup, saya menjadi seorang yang bodoh atau
pengecut. " Bila abang pulang?" Katanya. " Pukul sepuluh pagi tadi." Jawab saya. " Apa
khabar?Baik?" " Alhamdulillah……… ." Setelah itu saya menjadi bingung, tidak tentu lagi
apa yang akan saya terangkan kepadanya. Segala rancangan saya terhadap dirinya
yang saya reka-rekakan tadi, semuanya hilang. Ia melihat tenang-tenang kepada saya,
seakan ada pembicaraan saya yang ditunggunya, tetapi kian lama saya kian gugup,
sehingga sudah lalu hampir lima belas minit, tidak ada diantara kami yang bercakap.
"Mudah-mudahan kelak selamatlah, dan kerapkali datang kemari kalau masih di
rumah"- katanya pula; lalu ia berdiri dari tempat duduknya, kembali ke pekarangan
belakang, ke dalam pingitan. Saya pun berdiri saya ambil songkok saya sambil menarik
nafas panjang saya pun keluar. Dalam hati, saya teringat hendak menulis surat
kepadanya akan ganti diri saya menerangkan segala perasaan hati. Surat itu akan saya
tulis dengan tulus ikhlas, tidak bercampur dengan kata-kata yang dapat menyinggung
perasaan hati, baik perkara cinta atau perkara lain-lainnya, apa lagi surat itu tidak akan
diketahui oleh orang isinya jika ditulis dalam bahasa Balanda. Tetapi ha… saya tak
sampai hati, sebab perbuatan itu hanya sehingga daerah persaudaraan antara adik dan
abang, tidaklah mengapa. Tetapi adalah saya ini seorang yang lemah, otak saya tak
dapat mempengaruhi dan mengendalikan hati saya, sepandai-pandainya mengatur dan
menyusun kata, akhirnya tentu salah satu perkataan di dalam surat itu terpaksa juga
membawa erti lain, padahal dalam perkara yang halus-halus anak perempuan amat
dalam pemeriksaannya.
Cinta itu adalah " jiwa" antara cinta yang sejati dengan jiwa tak dapat dipisahkan, cinta
pun mereka sebagaimana jiwa, ia tidak memperbezakan di antara darjat dan bangsa, di
antara kaya dan miskin, mulia dan papa demikianlah jiwa saya, diluar dari pada resam
basi, terlepas daripada kekang kerendahan saya dan kemuliaannya; saya merasainya,
bahawa Zainab adalah diri saya, Saya merasai ingat kepadanya adalah kemestian hidup
saya. Rindu kepadanya membukakan pintu angan-angan saya menghadapi zaman yang
akan datang. Dahulu saya tidak pedulikan hal itu, tetapi setelah saya besar dan
berpisah daripadanya, barulah saya insaf, bahawa kalau bukan di dekatnya, saya
berasa kehilangan. Mustahil ia akan dapat menerima cinta saya, kerana dia langit dan
saya bumi, bangsanya tinggi dan saya daripada kasih sayang ayahnya. Bila saya tilik diri
saya, tidak ada padanya tempat buat
lekat hati Zainab. Jika kelak datang waktunya orang tuanya bermenantu, mustahil pula
saya akan temasuk golongan orang yang terpilih untuk menjadi menantu Engku Haji
Jaafar, kerana tidak ada yang akan dapat diharapkan dari saya, tetapi tuan… .
Kemustahilan itulah yang kerapkali memupuk cinta. Setelah puasa habis, saya kembali
ke Padang Panjang. Sebelum berangkat saya datang ke rumahnya menemuinya,
menemui ayah dan ibunya. Daripada ayahnya saya dapat nasihat; " Belajarlah
sungguh-sungguh, Hamid, mudah-mudahan engkau lekas pintar dalam perkara agama
dan dapat hendaknya saya menolong engkau sampai tamat pelajaranmu… .." "
InsyaAllah Engku"- jawab saya. Setelah itu saya berangkat; seketika saya melengung
yang penghabisan ke belakang; kelihatan oleh saya Zainab berdiri di pintu tengah,
melihat kepada saya. Di situ timbul pula kembali sifat saya yang pengecut; saya
mengadap ke muka dan saya pun pergi……
SEPERUNTUNGAN
Setelah beberapa lama kemudian, dengan tidak disangka-sangka satu musibah besar
telah menimpa kami berturut-turut. Pertama ialah kematian sekonyong-konyong dari
Engku Haji Jaafar yang dermawan. Ia seorang yang sangat dicintai oleh penduduk
negeri, kerana ketinggian budinya dan kepandaiannya dalam pergaulan; tidak ada satu
pun perbuatan umum di sana yang tak dicampuri oleh Engku Haji Jaafar. Kematiannya
membawa perubahan yang bukan sedikit kepada perhubungan kami dan rumahtangga
Zainab. Dia yang telah membuka pintu yang luas kepada saya memasuki rumahnya di
zaman hidupnya, sekarang pintu itu mahu tak mahu telah tertutup. Sebagai seorang
lain, Pertemuan kami tidak berleluasa seperti dulu lagi. Ah… . zaman semasa anak-anak,
dia telah pergi dari kalangan kami dan tak akan kembali lagi. Belum beberapa lama
setelah budiman itu menutup matanya,datang pula musibah baru kepada saya. Ibu
saya yang tercinta, yang telah membawa saya menyeberangi hidup bertahun-tahun
telah ditimpa sakit, sakit yang selama ini telah melemahkan badannya, iaitu penyakit
dada. Kerapkali Zainab dan ibunya datang melihat ibuku, dan duduk dekat kepalanya,
sedang saya duduk menjaga dengan diam dan sabar. Kerapkali juga Mak Asiah berkata;
" Ah luka lama yang belum sembuh sekarang datang pula yang baru. Belum lama saya
menjagai suami saya sakit, sekarang saya mesti melihat sahabat saya yang
menanggung sakit. Mudah-mudahan ia lekas sembuh." Waktu itu Zainab diam dalam
menungnya, di hadapan ibu yang sedang sakit, kerapkali ia melihat kepada saya
dengan muka yang tenang, dan agaknya bersertaan dengan nasib yang ditanggungnya
sendiri. Tetapi sepatah kata pun tak keluar daripada mulutnya dan saya pun melihat
pula, sehingga kedua mata kami bertemu dan dari dalam ruang-ruang mata yang
hitam, seakan-akan terbayang berulang-ulang beberapa perkataan yang penting,
meskipun lidah tiada sanggup menunjukkan ertinya. Mak Asiah pergi bersama Zainab,
di meja mereka letakkan sepinggan bubur yang telah didinginkan, ditutup dengan
sebuah piring kecil untuk ibu, kerana dia tak kuat makan nasi. Ketika ia akan pergi, ia
berkata:" Jagalah ia baik-baik, jika ia bangun kelak, berilah bubur ini barang sesenduk
pun." " Baiklah mak"-kata saya.
Pintu mereka tutupkan baik-baik dan mereka pun pergi. Setelah beberapa saat
kemudian ibuku mengembangkan matanya; di dalamnya hanya kelihatan tinggal
cahayaa dari kekerasan hati, padahal Kekuatan telah habis sama sekali. Dicarinya saya
dengan matanya yang telah kabur, tangannya yang telah tinggal jangat pembalut
tulang itu mencapai-capai ke kiri ke kanan mencari tangan saya, dengan segera saya
berikan tangan kanan saya, dipegangnya erat-erat dan dibawanya kemulutnya seraya
diciumnya, lama sekali; dari matanya titik airmata yang panas. " Hamid"- katanya,
rupanya kekuatan kembali sedikit; " Ibu hendak berbicara dengan engkau, penting
sekali, nak!" " Lebih baik ibu diamkan dahulu, agaknya ibu terlalu payah." " Tidak, Mid,
kekuatan ibu dikembalikan Tuhan untuk menyampaikan bicara ini kepadamu." " Apakah
yang ibu maksudkan?" "
Sebagai seorang yang telah lama hidup, ibu telah mengetahui suatu rahsia pada
dirimu." " Rahsia apa ibu?" " Engkau cinta kepada Zainab!" " Ah, tidak ibu, itu barang
yang amat mustahil dan itulah yang sangat anakanda takuti. Anakanda tak cinta
padanya dan takut akan cinta, anakanda belum kenal " cinta." Anakanda tahu bahawa
jika anakanda menyerahkan cinta kepadanya, takkan ubahnya seperti seorang yang
mencurahkan semangkuk air tawar ke dalam lautan yang amat luas; laut tak akan
berubah sifatnya kerana semangkuk air itu." " Wahai anakku, dari susunan katamu itu
telah dapat ibu membuktikan bahawa engkau sedang diserang penyakit cinta, takut
akan kena cinta, itulah dia sifat daripada cinta; cinta itulah yang telah merupakan
dirinya menjadi suatu perbuatan, cinta itu kerapkali berupa putus harapan, takut,
cemburu, hiba hati terkadang-kadang berani.
Di hadapan ibumu yang telah lama merasai pahit dan manis kehidupan tidaklah dapat
engkau sembunyikan lagi. Mataku telah kabur, tetapi hatiku masih terang-benderang." "
Anakku …… sekarang cintamu masih bersifat angan-angan, cinta itu kadang-kadang
hanya menurutkan perintah hati, bukan menurut pendapat otak.
Dari belum berbahaya sebelum ia mendalam, kerapkali kalau yang kena cinta tak
pandai ia merosakkan kemahuan dan kekerasan hati lelaki. Kalau engkau perturutkan
tetap engkau menjadi seorang anak yang berputus asa, apa lagi kalau cinta itu tertolak,
terpaksa ditolak oleh keadaan yang ada di sekelilingnya… .. " Hapuskanlah perasaan itu
dari hatimu, jangan timbul-timbulkan juga. Engkau tentu memikirkan juga, bahawa
emas tak setara dengan loyang, sutera tak sebangsa dengan benang." " Ayahnya,
orang yang telah memenuhi cita-cita kita dengan nikmat, sekarang tak ada lagi, ertinya
telah putus tali yang memperhubungkan kita dengan rumahtangga orang di sana. Meski
pun ibu Zainab seorang yang penuh dengan budi pekerti. Tentu saja kebaikannya
kepada kita tidak lagi sebagai suaminya hidup. Apa lagi famili-famili mereka yang bertali
darah sudah banyak yang akan turut mengatur keadaan pergaulan rumahtangga itu,
iaitu orang-orang baru yang tidak kenal akan kita."
" Memang anak,… .. cinta itu " Adil" sifatnya, Allah telah mentakdirkan dia dalam
keadilan, tidak memperbeza-bezakan antara raja dengan orang meminta-minta, tiada
menyisihkan orang kaya dengan orang miskin, orang mulia dengan orang hina, bahkan
kadang-kadang tidak juga berbeza baginya antara bangsa dengan bangsa, tetapi aturan
pergaulan hidup, tiada membiarkan yang demikian itu berlaku, orang sebagai kita ini
telah dicap dengan darjat " Bawah" atau " Kebanyakkan" sedang mereka diberi nama "
cabang atas"; cabang atas ada kalanya kerana pangkat dan ada kalanya kerana harta
benda. Cincin emas orang sayang hendak memberi bermatakan kaca, tentu dicarikan
orang, biar lama, permata intan berlian, atau zamrud dan nilam yang telah diasah oleh
orang rantai perintang-perintang hatinya, kerana lama menanggung dalam penjara." "
meski pun Zainab suka kepada engkau… . Kerana agaknya batinnya suci daripada
perasaan takbur dan mengangkat dirinya, tidaklah langsung kalau ibunya tak suka.
Diletakkan ibunya suka, bermuafakat orang itu dahulu dengan kaum kerabat, handai
dan taulan. Kalau mereka tak sepakat, waktu itulah kelak kau diserang oleh putus asa,
oleh malu, dan kadang-kadang memberi melarat kepada jiwamu. Sebab api masih
belum besar tidak engkau padami lebih dahulu."
" Tidak ada yang lebih baik untuk melupakan hal itu sebelum ia mendalam, sebab cinta
kepada orang yang demikian, adalah cinta arwah ayahmu hendak kembali ke dunia,
kerana ia berbesar hati melihat engkau telah besar. Ia tahu dan melihat segala apa
yang kejadian dalam dunia ini, dan ia ingin sekali hendak datang. Tetapi sayang… .
Alam dunia telah terbatas jauh sekali dengan alam barzakh… .." Lama saya termenung
mendengarkan perbicaraan ibu itu, pertama kerana amat dalam penyelidikannya
kepada faham hidup ini, kedua memikirkan kekuatan jiwanya yang timbul, seakan-akan
malaikat yang memimpin dia sedang berbicara, yang tidak saya sangka-sangka akan
sejelas itu. Beberapa saat antaranya saya pun menjawab:" Terima kasih, ibu, nasihat
ibu masuk benar kedalam hatiku, semuanya benar belaka, sebenarnya sudah lama pula
anakanda merasa yang demikian, sehingga dengan hati sendiri anakanda berjanji
hendak melupakannya, yang amat ajaib ialah peperangan otak dengan hati.
Tetapi bila kelihatan rumahtangga, atau kelihatan rupanya sendiri, dan kadang-kadang
bila namanya disebut orang hati ini lupa akan perintah otak, ia kembali berdebar, ia
surut kepada kenang-kenangannya yang lama. Inilah yang kerapkali mengalahkan
anakanda." " Ah, anakku, pandai benar engkau mewartakan nasibmu kepada ibumu!
Mengapa engkau segila itu benar, pada hal agaknya engkau belum mengetahui
bagaimana pula perasaan Zainab kepada dirimu?" " Wahai ibu, Cuma anakanda tahu
bahawa cintaku mendapat sambutan dengan semestinya, agaknya tidaklah separah ini
benar luka hatiku, kerana cinta yang dibalas itulah ubat yang paling mujarab bagi
seorang anak muda dalam hidupnya, tak akan lebih pintanya daripada itu, hati anak
muda akan besar dan merasa beruntung, jika anakanda ketahui bahawa airmata
anakanda yang selama ini telah banyak tercurah tidak bagai air yang tenggelam di
pasir; bahawa pengharapan dalam menuju hidup tak terhambat ditengah jalan; bahawa
cita-cita hendak memandangi langit tidak di halangi oleh awan.
Cinta anakanda kepadanya bukan mencintai tubuhnya dan bentuk badannya, tetapi
jiwa anakandalah yang mencintai jiwanya, kecintaan anakanda bukan dipeterikan oleh
kebiasaan bergaul dan bukan pula kerana kepandaian menyusun surat-surat kiriman.
Kebebasan pergaulan bisa ditutupi dengan perangai yang dibuat-buat dan kepintaran
mengarang surat dapat pula menyembunyikan kepalsuan hati. Anakanda menyintai
Zainab kerana budinya; di dalam matanya ada terkandung suatu lukisan hati yang suci
dan bersih."
" Anakku, sudah tinggi fikiranmu rupanya, sudah dapat engkau menerangkan perasaan
hati dengan perkataan yang cukup, sudah menurun pada dirimu kelebihan ayahmu. Ibu
tak dapat menyambung perkataan lagi… .. perkataanmu hanya ibu sambut dengan
airmata. Hanya kepada Tuhan ibu berharap, mudah-mudahan Dia memberikan
anugerah dan perlindungan akan dirimu. Dia yang telah menanamkan perasaan itu ke
dalam hatimu, Dia pula yang berkuasa mencabutnya. Mudah-mudahan itu hanya suatu
khayal, suatu angan-angan yang kerapkali mempengaruhi hati anak muda, yang dapat
hilang kerana pergantian siang dan pertukaran malam." " Mudah-mudahan," jawab
saya. Demikianlah nasihat kepada saya, setelah itu kekuatannya tak ada lagi. Dari saat
ke saat, hanya kelihatan kepayahannya menyelesaikan nafas yang turun naik. Kadang-kadang dilihatnya saya tenang-tenang dan dingangakan mulutnya sedikit minta minum.
Ubat-ubatnya tak memberi faedah lagi. Tidak beberapa malam setelah dia memberi
nasihat itu, datanglah masa yang ditunggu-tunggunya, masa berpindah daripada alam
yang sempit kepada alam yang lapang. Sementara saya asyik meminumkan ubat, di
tangan kanan saya terpegang sudu dan di tangan kiri terpegang gelas. Ia melihat
kepada saya dengan tenang, alamat berpisah yang akhir. Dari mulutnya keluar kalimah
suci, bersamaan dengan kepergian nyawanya ke dalam alam yang baqa', yang di sana
tempat manusia lepas daripada segala penyakit. Saya tercengang dan seakan-akan
bingung, di tangan kanan saya sudu masih terpegang, di tangan kiri saya berisi ubat;
saya lihat ke atas meja, di sana terletak beberapa botol yang telah kosong dan ramuan
dukun yang telah layu, limau manis yang dihantarkan oleh Zainab pagi hari itu baru
diusiknya seulas, lebihnya masih tinggal terletak di atas meja. Waktu itulah baru saya
insaf bahawa itu bukan perkara sudu, gelas, bukan perkara ubat ramuan, tetapi perkara
ajal semata-mata… .. Sekarang saya sudah tinggal sebatang kara di dunia ini!
TEGAK DAN RUNTUH
Telah lalu kejadian itu dan dia telah memberi kesan ke dalam jantung saya; rupa-rupanya kedukaan dan cubaan mesti diturunkan kepada manusia secukup-cukupnya
dan sepuas-puasnya, menanglah siapa yang tahan. Sejak kematian itu tidak beberapa
kerap lagi saya datang ke rumahnya, saya karam dalam permenungan, memikirkan
hidup saya di belakang hari, sebatang kara di dunia ini. Pada suatu petang sedang
matahari akan tenggelam ke dasar lautan di Batang Arau, di antara Hujung Gunung
Padang, di celah-celah ombak yang memecah ke atas pasir yang putih di Pulau Pandan,
di waktu saya sedang berjalan seorang diri di pesisir Batang Arau yang indah, melihat
perahu keluar masuk, tiba-tiba...... kelihatan oleh saya sebuah perahu tumpangan
datang dari seberang, di atasnya duduk tiga orang perempuan yang agak tua,
bertudung kain bugis halus, setelah perahu kecil itu hampir, keluar dari dalamnya
perempuan-perempuan itu, seorang di antaranya ialah Mak Asiah sendiri, ia lekas
melihat saya, " Oh, engkau Hamid? Mengapa di sini?" Katanya. " Berjalan-jalan emak,"
jawabku; " Dan emak dari mana?"
" Dari menziarahi kubur bapamu… .mengapa engkau tak datang ke rumah semenjak
ibumu meninggal?" Kerana Engku Haji Jaafar tiada lagi, akan engkau alangi saja datang
ke rumah? " Tidak emak, Cuma kematian yang bertimpa-timpa itu agak
mendukacitakan hatiku, itu sebab saya kurang benar keluar rumah. " Tak boleh begitu,
Hamid; sebabnya engkaulah yang mesti menyabarkan hati kami. Besok engkau mesti
datang ke rumah, ibu tunggu kedatanganmu, banyak yang perlu kita bincangkan." "
Baiklah mak." " Saya tunggu, ya?" " Baik, mak!" Setelah itu ia pun pergi di tengah jalan,
sebelum mereka naik dari sampan, rupanya pembicaraan mereka terhadap diri saya
saja. Kerana tak berapa jauh langkahnya, perempuan-perempuan tua yang lain
semuanya menoleh kepada saya sebagai rupa orang menunjukkan belas kasihan.
Besoknya janji itu pun saya tepati. Wahai tuan, hari itulah masa yang tak dapat saya
lupakan! Saya datang ke rumah itu, rumah tempat saya bersenda gurau dengan Zainab
di waktu kecil, rumah itu seakan-akan hilang semangat dan memang kehilangan
semangat, kerana bekas-bekas kematian masih kelihatan nyata.
Pintu luar terbuka sedikit dan saya ketuk pintunya yang mengadap ke dalam; pintu
terbuka… . Zainab yang membukakan. " Abang Hamid!" katanya. Waktu itu kelihatan
nyata oleh saya mukanya merah, nampak sangat gembiranya melihat kedatangan saya.
Baru sekali itu dan baru saat itu selama hidup saya melihat mukanya demikian, yang
tak pernah saya gambarkan dan tuturkan dengan susunan kata, pendeknya wajah yang
memberikan saya penuh pengharapan. " Bang Hamid!" katanya menyambung
perkataannya, " Sudah lama benar abang tak kemari, lupa agaknya abang kepada
kami!" Gugup saya hendak menjawab; saya pintar mengarang khayal dan angan-angan
tetapi bila sampai di hadapannya saya menjadi seorang yang bodoh. " Tidak, Zainab"
jawabku dengan gugup; " Tetapi… .. bukankan kita sama-sama kematian?" " Memang,
kematian itulah yang sepatutnya menjadikan abang kerap kemari." Seketika itu
mukanya kembali ditekurkannya menghadapi kakinya, tangannya berpegang ke pinggir
pintu, rambutnya yang halus menutupi sebahagian keningnya dan sepatah kata pun dia
tidak berbicara lagi. " Zainab… " kataku pula. " Sebetulnya tidak saya… . Pernah lupa
datang kemari, barangkali engkaulah… agaknya yang … lupa kepadaku."
Mendengar itu ia bertambah menekur, tak berani ia mengangkat muka lagi, dan saya
pun gugup hendak menambah perkataan, memang bodoh saya ini, dan pengecut!
Tiba-tiba dalam saya menyediakan perkataan yang akan saya katakana pula dalam
sedang merenungi kecantikan Zainab, kedengaranlah dari halaman tapak kaki emak
Asiah menginjak batu; Zainab mengangkat mukanya seraya berkata: " Itu ibu datang."
Saya masih dalam kebingungan, Zainab lalu kehadapan saya mengadap kedatangan
ibunya. Ketika sampai ke beranda dia berkata " Sudah lama Mid?" " Baru sebentar,
mak" jawabku. Saya disuruh duduk, Zainab dengan segera pergi ke belakang memasak
kopi sebagaimana kebiasaannya. " Hampir mak terlupa akan janji kita.
Tadi mak pergi ke rumah orang sebelah kerana tiada lama lagi dia akan mengahwinkan
anaknya; jadi dari sekarang sedang bersiap-siap menyediakan yang perlu, maklumlah
tetangga, perlu bantu-membantu." Saya dengarkan perkataannya, tetapi fikiran saya
masih tetap ingat kepada kejadian tadi.
Fikiran saya menjalar kemana-mana, memikirkan tegur Zainab dan mukanya yang
merah ketika mula-mula melihat saya; hanya suatu kejadian yang tiba-tibakah itu, atau
adakah dia merasai apa yang saya rasai?
Dalam pada itu Mak Asiah masih tetap membicarakan beberapa perkara menyebut-nyebut jasa suaminya, menyebut kebaikan ibuku. Akhirnya sampai pembicaraan kepada
Zainab. " Bagaimanakah fikiranmu Hamid, tentang adikmu Zainab ini?" " Apakah yang
emak maksudkan' Tanya saya. " Semua keluarga di darat (darat adalah sebutan dari
Padang Halus) telah bermuafakat dengan emak hendak mempertalikan Zainab dengan
seorang anak saudara almarhum bapamu, yang ada di darat itu, dia sekarang sedang
bersekolah di Jawa. Maksud mereka dengan perkahwinan itu supaya hartabenda
almarhum bapanya dapat dijagai oleh familinya sendiri, oleh anak saudaranya, sebab
tidak ada saudara yang lain, dialah anak yang tunggal. Pertunangan itu telah dirunding
oleh orang yang sepatutnya, jika tiada aral melintang, bulan depan hendak
dipertunangkan dahulu, nanti apabila tamat sekolahnya akan dilangsungkan
perkahwinan. Hal ini telah mak rundingkan dengan Zainab, tetapi tiap-tiap ditanya dia
menjawab belum hendak bersuami, katanya, tanah perkuburan ayahnya masih merah,
airmatanya belum kering lagi. Itulah sebabnya engkau disuruh kemari, akan emak
lawan berunding, mak masih ingat pertalian engkau dan Zainab masa engkau kecil dan
masih sekolah; engkau banyak mengetahui tabiatnya apalagi engkau tidak
dipandangnya sebagai orang lain, sukakah engkau Hamid, menolong emak?" Lama saya
termenung… .. " Mengapa engkau termenung, Hamid? Dapatkan engkau menolong
emak, melembutkan hatinya dan memujuk ia supaya mahu? Hamid!.... emak percaya
sepenuh-penuhnya kepadamu sebagai Allahyarham bapamu percaya kepada engkau!' "
Apakah yang akan dapat saya Bantu mak? Saya seorang yang lemah. Sedangkan
ibunya sendiri tak dapat mematah dan melembutkan hatinya apatah lagi saya orang
lain, anak semangnya." " Jangan bercakap begitu, Hamid, engkau bukan emak pandang
sebagai orang lain lagi, almarhum telah memasukkan engkau ke dalam golongan kami,
walaupun beragih tetapi tak bercerai.
Maka di atas namanya hari ini, di atas nama Haji Jaafar mak meminta tolong
melembutkan hati adikmu." " Oh itu namanya perintah, saya kabulkan permintaan
mak." Mukanya kelihatan gembira, meskipun dia tak sempat memperhatikan bagaimana
perubahan muka saya yang telah muram. Kemudian keluarlah Zainab membawa dua
cawan kopi dan beberapa piring kuih. Ibunya melihat kepadanya dengan kasih dan
mesra, kerana pada diri anaknya itulah tergantung pengharapannya dan penghabisan. "
Duduk, Nab, abangmu Hamid hendak berkata-kata sepatah dua kata dengan engkau."
Saya masih agak bingung dan Zainab telah duduk dekat ibunya dengan wajah kemalu-maluan. Beberapa minit lamanya tenang saja dalam ruangan itu tak seorang jua pun di
antara kami yang berkata; ibunya seakan-akan menunggu supaya perkataan itu lekas
dimulai, Zainab kelihatan malu tak mahu melihat muka saya, sedang saya masih
termenung memikirkan dari manakah percakapan itu akan saya mulai. " Bicaralah,
Hamid, amat banyak masa terbuang," kata ibu dengan tiba-tiba. Sulit sekali untuk
memulai pembicaraan itu, sulit menyuruh seorang mengerjakan suatu pekerjaan yang
berat hatinya melakukan, pekerjaan yang berlawanan dengan kehendak hatinya sendiri.
Tetapi di balik itu, sebagai seorang anak muda yang telah dicurahi orang kepercayaan
dengan sepenuhnya, yang sudi mengorbankan jiwa untuk menyimpan rahsia.
Akhirnya hati saya dapat saya bulatkan dan mulai berkata: " Begini Zainab… . Sudah
lama ayah meninggal, semenjak itu lenganglah rumah ini, tiada seorang pembela pun
yang akan dapat menjaganya. Selain dari itu, menurut aturan hidup di dunia, seorang
gadis perlulah mengikut perintah orangtuanya, terutama kita orang Timur ini. Buat
menunjukkan setia hormatnya kepada orangtuanya, ia perlu menekan perasaan hati
sendiri. Dia mesti ingat sebuah saja, iaitu mempergunakan dirinya, baik murah atau
mahal, untuk berkhidmat kepada orangtuanya." " Sekarang, kerana memikirkan
kemuslihatan rumahtangga dan memikirkan hati ibumu, pada hal hanya sendiri lagi
yang dapat engkau khidmati, ia berkehendak supaya engkau mahu dipersuamikan… .
dipersuamikan dengan…kemanakan ayahmu."
Seakan-akan terlepas dari suatu beban yang maha hebat saya rasanya, setelah selesai
perkataan yang sulit itu. Selama saya berbicara Zainab masih tetap menekur ke meja,
tanganya mempermain-mainkan sebuah pontong macis, diramas-ramasnya dan
dipatah-patahnya, belum sebuah juga perkataan keluar dari mulutnya.
Setelah kira-kira lima minit lamanya, barulah mukanya diangkat, airmatanya kelihatan
mengalir, mengalir setitik dua titik ke pipinya yang halus dan indah itu. " Bagaimana,
Zainab, jawablah perkataanku!" " Belum abang, saya belum hendak kahwin. " Atas
nama ibu, atas nama almarhum ayahmu." " Belum abang!"
" Sampai hati abang memaksa aku?" " Abang bukan memaksa engkau, adik… ingatlah
ibumu." Mendengar itu dia kembali terdiam, ibunya pun terdiam, ia telah menangis
pula. Karam rasanya bumi ini saya pijakkan, gelap tujuan yang akan saya tempuh. Dua
kejadian yang hebat telah membayang dalam kehidupan saya sehari itu, tak ubahnya
dengan seorang yang bermimpi mendapat sebutir mutiara ditepi lautan besar, sebelum
mutiara itu dibawa pulang, tiba-tiba sudah tersedar; meskipun mata dipaksa hendak
tidur, mimpi yang tadi telah tinggal mimpi, ia telah tamat sehingga itu tidak akan
bertambah-tambah lagi.
Selama ini saya masih ragu, adakah Zainab membalas cinta saya; pertemuan saya
dengan dia itu memberikan pengharapan sedikit pada saya, tetapi belum pengharapan
itu dapat saya yakni tibalah penyerahan ibunya yang berat itu. Hanya hingga itu dapat
saya ceritakan kepada tuan apa yang terjadi sehari itu. Setelah itu saya pun pulang ke
rumah saya, di jalan pulang saya rasakan badan saya sebagai bayang-bayang tanah
serasa bergoyang saya pijakkan..
BERJALAN JAUH
Dua kejadian yang berjuang pada hari itu, cukuplah untuk menentukan tujuan nasib
saya; nikmat hati hanya lalu sebagai khayal belaka. Setelah melayap laksana satu
bayangan, ia pun hilang dan tidak akan kembali lagi. Kepada Tuhan dapatlah saya
menghantarkan satu kesyukuran yang bersih, sebab saya telah dapat memberikan
suatu pengorbanan untuk seorang perempuan yang lemah, saya telah menolongnya,
memujuk anaknya yang keras. Untuk itu perasaan hati sendiri telah saya tekankan;
sungguh besar sekali korban yang saya berikan, memang kalau diukur dengan fikiran,
saya ini hanya pantas menjadi saudara Zainab, menjadi pembelanya, tetapi cinta
mempunyai suatu lapangan yang lebih luas daripada ukuran fikiran itu. Inilah yang
tertulis dalam hati, yang sukar dilupakan selamanya. Ada suatu jawapan yang
tergantung, yang saya sempat dengar dari mulut Zainab, dan keras persangkaan saya
akan dirinya pada hari itu; itulah yang sentiasa menjadi penyakit pada saya, tetapi
menjadi ubat juga.
Kemudian saya insaf, bahawa alam ini penuh dengan kekayaan. Allah menunjukkan
kuasaNya. Tidaklah adil jika semua makhluk dijadikan dalam tertawa, yang akan
menangis pun ada pula. Kita mesti mengukur perjalanan alam dengan ukuran yang
luas, bukan dengan nasib diri sendiri. Bukankah patut saya syukur dan terima kasih,
sebab seorang perempuan tua dapat saya tolong, saya patahkan hati anaknya yang
hanya satu tempat menumpahkan segala pengharapannya.
Kalau kelak terjadi perkahwinan Zainab dengan kemanakan ayahnya dan mereka hidup
beruntung, sehingga Mak Asiah waktu menutup mata tidak merasa bahawa ia masih
ada hutang piutang dengan anaknya, bukankah saya telah mengusahakannya?
Memang, mula-mula hati itu mesti bergoncang; bukahkan loceng-loceng dirumah juga
berbunyi keras dan berdengung jika kena pukul? Tetapi akhirnya, dari sedikit ke sedikit,
dengung itu akan berhenti juga. Cuma saja saya mesti berikhtiar, supaya luka-luka
yang hebat itu jangan mendalam kembali, saya mesti berusaha, supaya ia beransur-ansur sembuh. Untuk itu saya mesti berusaha, saya mesti meninggalkan Kota Padang,
terpaksa tak melihat wajah Zainab lagi, saya berjalan jauh.
Setelah saya siapkan segala yang perlu dan rumahtangga saya pertaruhkan kepada
salah seorang sahabat handai yang setia, dengan tak seorang pun yang mengetahui,
saya berangkat meninggalkan Kota Padang, kota yang permai dan yang sangat saya
cintai itu, dengan menekankan dan membunuh segala perasaan yang sentiasa
mengharu hati, saya tumpangi kereta yang berangkat ke Siantar. Di kiri kanan saya
banyak penumpang lain yang akan menuju ke kota Medan, setelah saya sampai ke
Medan, saya buat surat kepada Zainab, sesudah hati saya, saya beranikan; itulah surat
saya yang pertama kali kepadanya. Jika kelak ternyata dia tak cinta kepada saya,
syukur, sebab saya tak melihat mukanya yang kesal membaca surat. Tetapi kalau ia
nyata ada mempunyai perasaan sebagi yang saya rasai dan surat itu diterimanya
dengan sepertinya, tentu sekurang-kurangnya saya akan menerima belas kasihannya,
sebagai seorang melarat yang diarak oleh untung nasib saya. Demikian bunyi surat itu
masih hafaz oleh saya:
" Menyesal sekali, kerana sebelum berangkat tak sempat saya bertemu muka dengan
adinda lebih dahulu, maafkanlah adik, kerama amat banyak halangan yang
menyebabkan saya tak sempat datang ketika itu, halangan yang tak sapat saya
sebutkan. Barangkali agak sedikit tentu adik bertanya juga dalam hati, apa gerangan
sebabnya abang Hamid berangkat dengan tiba-tiba.
Biarlah hal itu menjadi soal buat sementara waktu, lama-lama tentu akan hilang jua
dengan sendiri. Banyak hal-hal yang akan saya terangkan dalam surat ini, tetapi tak
sanggup pena saya menulisnya. Hanya dengan surat ini saya bermohon sangat supaya
adik menuruti cita-cita ibu. Jika kelak maksud famili sampai dan adik bersuami; berikan
kepadanya kesetiaan yang penuh. Akan hal diri saya ini, ingatlah sebagai mengingat
seorang yang telah pernah bertemu dalam peri penghidupanmu, seorang sahabat dan
boleh juga disebut saudara yang ikhlas dan saya sendiri akan memandang tetap engkau
sebagai adikku. Jika pergaulanmu kelak dengan suamimu berjalan dengan gembira dan
beruntung, sampaikanlah salam abang kepadanya. Katakan bahawa di suatu negeri
yang jauh, yang tak tentu tanahnya, ada seorang sahabat yang sentiasa ingat akan
kita. Dan biarlah Allah memberi perlindungan atas kita semuanya.
Wassalam abangmu,
Hamid,
Demikianlah bunyinya surat yang saya kirimkan. Tiada lama saya di Medan, saya
menuju ke Singapura, mengembara ke Bangkok, belayar terus memasuki tanah-tanah
Hindustan, dan dari Karachi belayar menuju ke Mesir masuk ke Iraq, melalui Sahara
Najad dan akhirnya sampailah saya ke tanah suci ini. Sekarang sudah tuan lihat, saya
telah ada di sini, di bawah lindungan Ka`bah yang suci, terpisah daripada pergaulan
manusia yang lain.
Di sinilah saya selalu tafakur memohon kepada Tuhan seru sekalian alam, supaya ia
memberi saya kesabaran dan keteguhan hati menghadapi kehidupan. Setiap malam
saya duduk beri`tikaf di dalam Masjidil Haram, doa saya telah berangkat ke langit
biru, membumbung ke dalam alam ghaib bersama-sama permohonan segala makhluk
yang makbul. Segala ingatan kepada zaman yang lama-lama, dari sedikit beransur-ansur lupa juga. Cuma sekali-sekali ia terlintas difikiran, ketika itu saya menarik nafas
panjang, kerana biar pun luka sembuh dengan kunjung, bekasnya mesti ada juga.
Tetapi hilang pula dengan segera, bila saya bawa tawaf dan sa`ie(berjalan antara Safa
dan Marwah), atau saya bawa bertekun di dalam masjid tengah malam. Sudah hampir
datang tamaninah (ketetapan) ke dalam hati saya menurut persangkaan saya mula-mula, tamatlah cerita ini sehingga itu.....
BERITA DARI KAMPUNG
Setelah setahun saya di sini dan waktu mengerjakan haji telah datang. Tuan sendiri
yang mula-mula saya kenal semenjak orang-orang yang akan mengerjakan haji dari
tanahair kita. Kemudian sebagai tuan maklum, datanglah pula saudara kita Salleh ini.
Salleh adalah salah seorang teman saya semasa kami bersekolah agama di Padang dan
Padang Panjang; oleh kerana sekolahnya di Padang telah tamat, dia hendak
meneruskan pelajarannya ke Mesir, ia singgah di Mekah ini untuk mencukupkan rukun.
Sekarang ia berangkat ke Medinah, supaya sehabis haji dapat ia menumpang kapal
yang membawa orang Mesir kembali yang sewanya lebih murah dari kapal-kapal lain.
Dengan kebetulan sekali, dia telah memilih syeikh kita menjadi tempatnya,
menumpang, sehingga sahabat lama itu bertemu kembali, setelah kami bercerai selama
itu.
Wahai tuan… .. kedatangannya telah menghidupkan ingatan kembali kepada yang lama-lama, dia menceritakan kepadaku, bahawa dia telah beristeri dan isterinya telah sudi
melepaskan die belajar sejauh itu. Padahal mereka baru saja berkahwin. Dipujinya
isterinya sebagai seorang perempuan yang setia, yang teguh hatinya melepaskan
suaminya berjalan jauh, kerana untuk menambah pengetahuannya.
Setelah beberapa hari dia datang, dibawanya saya ke Maala di atas sebuah bangku di
halaman qahwa ia membicarakan akan suatu hal yang sangat menggerakkan fikiran
saya. Sambil meminum syahi (teh) Arab yang panas dan enak, ia mulai berkata: "
Hamid! Tempoh hari sudah saya katakan, bahawa saya telah beristeri, isteri saya itu
ialah Rosnah..ingatkah engkau akan Rosnah, sahabat karib Zainab?"
Saya pucat mendengar nama Zainab disebutnya. Kerana sudah lama benar saya tiasa
mendengar nama itu disebut orang, kecuali saya sendiri, perubahan muka saya itu
dilihat oleh Salleh sambil tersenyum duka. " Kerapkali isteriku disuruhnya datang
kerumahnya" katanya meneruskan ceritanya.
" Kerana hubungan persahabatan mereka itu yang karib. Rupanya Zainab telah sudi
membukakan rahsia-rahsianya yang sulit kepada isteri saya. Yang paling hebat, ialah
seketika pada suatu hari isteri saya datang ke rumahnya, didapatinya Zainab merenung
sebuah album, di dalam album itu terkembang sehelai surat kecil yang telah lusuh dan
lunak, kerapkali dibaca dan dibuka lipatannya. " Setelah adinda kelihatan olehnya" kata
isteriku," album itu ditutupnya dengan segera dan surat itu disimpannya baik-baik ke
dalam laci mejanya, setelah itu dia kelihatan kepada adinda dengan tenang, wajahnya
muram, matanya berbekas tangis dan dia menarik nafas panjang".
" Tiada tahan rupanya hati isteriku melihat kejadian itu, maklumlah kaum perempuan
itu seperasaan, lalu ia berkata: " Zainab!.... mengapa engkau menangis pula, sahabat?
Tidakkah di rumah yang sepermai ini sarang orang yang berdukacita.
Di rumah yang indah-indah dan gedung yang permai, yang di kiri kanannya dikelilingi
oleh kebun-kebun yang subur, cukup dengan orang-orang gajian yang setia, tiadalah
patut terdapat orang yang mengalirkan airmata.
Disana tidaklah ada kesedihan dan kedukaan." Zainab menjawab: " Salah sekali
persangkaanmu, sahabat! Bahawasanya airmata tidaklah ia memilih tempat untuk
jatuh, tidak pula memilih waktu untuk turun.
Airmata adalah kepunyaan bersyarikat, dipunyai oleh orang-orang yang melarat yang
tinggal di dangau-dangau yang buruk, oleh tukang sabit rumput yang masuk ke padang
yang luas dan ke tebing yang curam, dan juga oleh penghuni gudang-gudang yang
permai dan istana-istana yang indah. Bahkan di situlah lebih banyak orang menelan
ratap dan memulas tangis. Luka jiwa yang mereka hidupkan, dilingkung oleh tembok
dinding yang tebal dan tinggi, sehingga yang kelihatan oleh orang di luar penuh dengan
kepahitan." " Kesedihan orang lain lebih merdeka dan lebih puas, dapat ia
menerangkan fahamnya yang tertumbuk kepada alam yang sekelilingnya, dapat pula
mereka lupakan dan menghilangkan. Tetapi di rumahtangga yang sebagai ini, kedukaan
akan dirasakan sendiri, airmata akan dicucurkan seorang, rumah dan gedung menjadi
kubur kesedihan yang tiada berhujung". Airmata Zainab kembali jatuh. " Mengapa
engkau menangis juga, sahabatku! Kesedihan apakah yang engkau tanggungkan?
Teringatkah engkau kepada ayahmu?
Kalau demikian, engkau salah, Zainab! Lupa engkau agaknya, bahawa kedukaan itu
tumbuh diapit oleh dua rumpun kesukaan." " Bukan demikian, sahabat!" jawabnya. "
Buat diriku sendiri, Tuhan telah mentakdirkan berlainan dari orang. Kedukaanku
tumbuh di antara dua kedukaan pula. Dahulu saya telah berduka, sekarang berdukacita
dan kelak akan terus berluka hati." " Engkau mengesali nasib, Zainab!" "
Menyesali nasib saya tidak, menyedar untung saya bukan, melainkan yang
sebetulnyalah yang saya katakan." " Zainab… . Kalau tidak akan merbahaya benar,
nyatakanlah kepadaku, apa yang menjadi sebab dukacitamu sebesar itu benar. Kerana
sudah agak lama saya melihat mukamu muram, sehingga airmata saya sendiri kerapkali
bersyarikat, tercurah untuk kesedihanmu, sahabat! Saya akan meratap menuruti ratap
engkau, kerana tidak ada kepandaian kita kaum perempuan selain dari menangis."
Laksana seorang anak yang memohon dikasihani, dipeluknya Rosnah, seketika lamanya
kedua sahabat itu berpeluk-pelukan, bertangis-tangis tiada berkata-kata. " Sudahlah,
zainab, ingatlah akan dirimu, kelak engkau, demikian pun saya, ditimpa oleh penyakit
lain. Ceritakanlah kepada saya hal yang engkau rahsiakan itu, mudah-mudahan kerana
sesudah ada tempat menerangkan, tanggungan itu supaya ringan sedikit, sebab beban
untuk sendiri telah dibahagi dua." Mula-mula termenung, setelah beberapa saat
lamanya ia pun berkata:
HARAPAN DALAM PENGHIDUPAN
" Ingatkah engkau, Ros, bahawa duhulu ada tinggal berhampiran rumahku ini seorang
anak muda bernama Hamid?" " Masihkah aku tak ingat, anak muda yang baik budi dan
beroleh pertolongan daripada almarhum ayahmu." " Ah, Ros, saya amat kasihan kepada
orang muda itu, dia seorang muda yang hidup miskin, mendapat bantuan daripada
ayahku, semasa usianya baru 4 tahun ayahku yang membantunya, dan seketika
sekolahnya akan lanjut, ayahku meninggal pula, 
kemudian meningal ibunya. Rupanya kerana ia sentiasa dirundung malang, sangatlah
dukacita hatinya, berbulan-bulan khabar tidak berita pun tidak, budinya baik sekali,
pekertinya tinggi dan mulia; memang dalam kalangan orang-orang yang dirudung
malang itu kerapkali timbul budi pekerti yang mulia, timbul dengan baik dan suburnya,
bukan kerana latihan manusia. " Bertahun-tahun lamanya kami hidup seperti adik
beradik; maka pada dirinya saya dapati beberapa sifat yang tinggi dan terpuji, yang
agaknya tidak ada pada pemuda-pemuda lain, baik dalam kalangan bangsawan atau
hartawan sekalipun. Sampai kepada saat yang paling akhir daripada kehidupan ayahku,
belum pernah ia menunjukkan suatu perangai yang patut dicela, sehingga ibu-bapaku
amat memuji akan dia. Ia tahu benar akan kewajipannya. Wahai Ros, saya tertarik
benar kepadanya dan kepada tabiatnya. Ia suka sekali bersunyi-sunyi, memisahkan diri
daripada pergaulan ramai, laksana seorang pendita bertapa yang benci akan dunia lata
ini. Kerapkali ia pergi bermenung ke tepi pantai samudera Hindi yang luas itu,
memerhatikan pergelutan ombak dan gelombang, seakan-akan fikirannya terpaku telah
terpaku kepada keindahan alam ini. Bila dia pulang ke rumah ibunya yang dicintai, ia
menunjukkan khidmatnya dengan sepertinya bila dia bertemu dengan saya, buah
katanya tiada keluar dari lingkar kesopanan, tahu ia menimbang hati dan menjaga kata.
Sebagai yang kau tahu, kita pun tamat dari sekolah, maka adat-istiadat telah
mendinding pertemuan kita dengan lelaki yang bukan muhrim bukan saudara atau
famili karib, waktu itulah saya merasai kesepian yang sangat.
Saya merasa kehilangan seorang teman yang sangat saya takjupi. Keadaan
memisahkan saya dengan dia, tiada dapat lagi saya mendengarkan buah tuturnya yang
lemah lembut. Waktu itulah saya insaf, bahawa saya sudah ditimpa suatu perasaan
yang ganjil, saya lengang dan sunyi, ingatan saya sebentar-sebentar kembali kepada
Hamid saja. " Engkaukan tahu, Ros, Hamid tidak begitu gagah, tidak sepantas dan
segalak pemuda lain, tetapi hati kecilku amat kasihan kepadanya, agaknya, hidupnya
yang sederhana itulah yang telah memaut hati sanubariku. Saya sangat hiba kepadanya
kerana saya merasa tak ada orang lain yang akan menghibai dirinya. Hairan Ros, saya
telah karam di dalam khayal, di dalam angan-angan.
Kadang-kadang saya singkirkan dia dari fikiran, kerana timbul memikirkan takburku
memikirkan darjatku, saya merasai ketinggian dan kemuliaan diriku, lebih daripada
kedudukan darjat Hamid dan saya takut terjatuhnya ke dalam jurang cinta, tetapi orang
mengkhabarkan bahawa takut itupun setengah daripada rupa cinta juga." Maka di
antara awan yang gelap gelita dan angin badai yang berhembus semenjak pertengahan
malam, tiba-tiba cahaya fajar pun naiklah, itulah kenang-kenangan dan pengharapan,
daripada cinta dan rindu dendam.
Sebenarnya Ros… ..saya cinta kepada Hamid. Biar engkau tertawakan daku, sahabat,
biar mulutmu tersenyum simpul, saya akan tetap berkata, bahawa saya cinta kepada
Hamid. Ia tidak berpembela, tidak ada orang yang akan sudi menyerahkan diri menjadi
isterinya, kerana dia miskin, tidak ada gadis yang akan sudi mempedulikan dia, kerana
rupanya tak gagah. Itulah sebabnya dia saya cintai, hartaku ada sedikit, cukup untuk
membantu cita-citanya, kerana saya lihat dia akan menjadi seorang ahli seni jika ada
yang membantu. Buat saya dialah orang yang paling pantas dan cekap. Meskipun bagi
orang lain agaknya tidak. Saya leluasa melihatnya lalu lintas di halaman rumah,
meskipun dia tak melihat saya. Jika sekali-sekali dia datang mengunjungi ibuku, aku
dengarkan perkataannya yang penuh dengan ilmu dan pengetahuan itu baik-baik.
Pada suatu hari, hari yang tak dapat saya lupakan, ia datang kerumah ini menemui
ibuku. Ketika itu ibu tiada di rumah, tiba-tiba saya bertemu muka dengan dia. Rupanya
ada perkataan yang hendak dikatakannya, mulutnya masih gugup dan tak lancar, rasa-rasa terdengar olehku sekarang: " Zainab, sebenarnya tidaklah pernah saya lupa
hendak datang kemari, barangkali engkaulah yang agak lupa kepadaku." Alangkah
nikmatnya rasa hatiku mendengar perkataannya itu, tetapi belum sempat saya
menyusun kata untuk menjawab, ibu datang, perkataan kami terhenti sehingga itu.
Badanku serasa bayang-bayang perkataannya menjadi teka-teki bagi hatiku, adakah
tutur katanya itu daripada rasa pertalian adik dan abang saja atau daripada kesucian
cinta?
" Agaknya, engkau pandang rendah saya ini, Ros, mencintai seorang yang tiaa
bersekedudukan dengan diri sendiri, dan jauh tak tentu tempatnya." " Waktu itu isteriku
menjawab," kata salleh, ujarnya: " Tidak Nab, cinta itu adalah perasaan yang mesti ada
tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci,
Cuma tanahnya lah yang berlainan menerimanya.
Jika ia jatuh ke tanah yang tandus tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan,
kedustaan, penipuan, langkah serong dan lain-lain perangai yang tercela. Tetapi kalau
ia jatuh ke tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia,
budipekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.
Saya tiada hendak menghinakan engkau kerana jatuh cinta padanya, wahai sahabatku
Zainab, dan saya banyak pula membaca dalam buku-buku, bahawa biasa cinta yang
suci bersih itu tidaklah tumbuh dengan sendirinya, kerana jiwa itu bertemu dengan
batin, dalam azal (baka) kejadian Allah sebelum badan kasar manusia ini berkenalan.
Itulah kuasa ghaib yang perlu kita percayai. Sebab itu saya percaya bahawa cintamu
tak jatuh ke pasir tentu saja Hamid mencintai engkau pula; tidaklah jiwa engkau
tertarikh mengingat akan dia, kalau kiranya jiwanya tak mengingat engkau pula. Hati
orang yang bercinta mempunyai mata, ia dapat melihat barang yang tak dilihat oleh
orang lain." " Ah" jawab Zainab " Itu
Cuma kira-kira dan agak-agak belaka, agak-agak dan kira-kira tak dapat dipercayai,
masakan orang yang berpisah sangat jauh, tak berhubungan surat sedikit jua pun akan
ingat kepada orang yang ditinggalkannya." " Jangan begitu, Zainab, engkau tiada
percaya percakapanku, kerana hatimu terlalu dipengaruhi oleh angan-anganmu.
Percayalah bahawa Hamid ingat pula akan engkau." " Wahai…… kesana rumit..ke sini
rumit, Ros; saya percayai bahawa dia ingat kepadaku sebagaimana saya ingat
kepadanya, entah agaknya saya menggantang-gantang asap. Tidak saya percayai, hati
saya bertambah luka. Saya tahu mengingat orang jauh itu penyakit, tetapi saya pun
takut penyakit itu akan hilang dari hati saya… .aduh gusti Allah!!" Setelah itu terhenti
sendiri percakapan kedua sahabat itu. Yang kedengaran hanya sedu-seduan dua orang
seperasaan dan yang kelihatan ialah orang yang keluh kesah putus asa." Sekianlah
cerita yang dibawa oleh sahabat kita Salleh itu. Tidak berapa lama ia menerima riwayat
ganjil itu dari isterinya, ia pun berangkat. Rupanya dengan takdir Tuhan, kami pun
bertemu di tanah suci ini, pertemuan yang tidak di sangka-sangka sedikit pun. "
Barangkali terganggu perjalanan jiwamu menuju bakti kesucian kerana mendengar
berita yang saya bawa itu" kata Salleh. " Tetapi saya sebagai orang yang tiada tahan
memegang rahsia sehingga terkatakan juga olehku kepada engkau, dan beruntung
engkau Hamid… ..Berbahagia sekali." "
Apakah keuntungan dan bahagianya cinta yang tak berpengharapan? " Tanya saya
dengan tiba-tiba kepadanya.
" Bukanlah cinta itu sudah satu keuntungan dan satu pengharapan Hamid?" Tanyanya
pula… .. Setelah itu saya menerangkan berita itu, tidak berapa hari kemudian Salleh
mengirimkan sepucuk surat buat isterinya Rosnah menerangkan pertemuan kami
dengan tiba-tiba itu… .. Tuan!… .telah bertahun-tahun saya berjalan di dalam gelap
gelita. Tidak tentu arah yang saya tempuh, tidak kelihatan suatu bintang di halaman
langit akan saya jadikan pedoman dalam menuju perjalanan itu demi setelah sampai
berita yang demikian. Seakan-akan kegelapan itu terang sedikit ke sedikit, sebab dari
Timur melintang cahaya fajar, cahaya yang saya nanti-nanti, cahaya itu lebih
benderang dari cahaya suria, lebih nyaman dari cahaya bulan dan lebih dingin dari
cahaya kelap-kelip bintang-bintang.
Saya hidup laksana seorang buangan yang tersisih pada suatu padang belantara yang
jauh laksana seorang bersalah besar yang dibuang negeri, tiada manusia yang datang
menengok, tidak ada famili yang melihat, ditimpa oleh haus dan dahaga, sekarang saya
telah lepas dari pembuangan, saya telah dibolehkan pulang dan beroleh ampun, telah
ada manusia yang lalu-lintas, telah hilang haus dan dahaga, sekarang baru saya tahu
dan mengerti, bahawa sukacita itu ada juga dijadikan Tuhan di dalam dunia fana ini.
Dahulu kalau disebut orang kepada saya untung dan bahaya, tidak lain yang terlintas
dalam fikiran saya daripada rumah yang indah, gedung yang permai, wang berbilang,
emas bertahil, cukup dengan kenderaan dan kehormatan, dijunjung orang ke mana
pergi. Sekarang saya telah insaf, bahawa semua itu bukan untuk bahagia, yang sejati
ialah jika kita tahu, bahawa kita bukan hidup terbuang di dalam dunia ini, tetapi ada
orang yang mencintai kita. Lebih setahun saya menghilangkan diri, tidak ada orang lain
yang bertanya hal ehwal saya dan saya pun tak bertanya hal ehwal orang lain.
Segala kesakitan hidup telah saya tanggungkan. Ada juga orang yang menyatakan
kasihan, ada orang yang lalu lintas di hadapan saya, sambil menggelengkan kepala.
Tetapi bukanlah mereka mengasihi jiwa saya, mereka mengasihi tubuh kasar saya yang
kurus tak makan atau ditimpa penyakit. Semuanya tiada erti buat saya. Sekarang
barulah saya tahu diri saya ada harganya buat hidup, sebab ada orang yang mencintai
saya, iaitu orang yang saya cinta. Dahulu saya telah putus asa hendak hidup, kadang-kadang terlintas di dalam hati saya hendak membunuh diri. Akan sekarang, wahai tuan,
saya hendak hidup, hendak merasai kelazatan cahaya matahari sebagai orang lain pula,
sebab pengetahuan hidupku telah ada.
Habislah cerita sahabatku Hamid hingga itu, mukanya kelihatan berseri-seri, sebab
simpanan di dadanya meluap selama ini telah dapat ditumpahkannya kepada orang
yang dapat dipercayainya. Waktu itu saya menjawab sambil bergurau sedikit: "
InsyaAllah, habis mengerjakan haji saya akan lekas kembali pulang, mudah-mudahan
kita dapat pulang bersama-sama." Iapun menjawap sambil tersenyum " Mudah-mudahan……… " 
SURAT-SURAT
Sepuluh hari sebelum orang-orang haji berangkat ke `Arafah mengerjakan wuquf
jemaah-jemaah
telah kembali dari ziarah besar ke Madinah. Waktu itulah pula Salleh kembali ke Mekah.
Surat balasan dari isterinya yang datang sepeninggalannya ke Madinah telah kami
serahkan ke tangannya. Dalam minggu itu juga datang surat Zainab kepada Hamid.
Salinan surat Rosnah. Kandaku tuan! Surat kekanda telah adinda terima, surat yang
telah lama adinda harap-harapkan… . Disini ada beberapa perkataan lagi- isteri (yang
tak perlu saya salin) Akan hal Zainab ia sekarang sakit-sakit, badannya telah kurus
agaknya kerana selalu ingat segala kejadian yang lama-lama itu, adinda, tiada dapat
menahan hati, melihat surat kekanda kepadanya. Seketika membaca surat itu,
badannya kelihatan gementar, entah kerana cemasnya entah kerana harapannya,
dapatlah kekanda maklumi sendiri. Ia sangat harap dan sangat rindu hendak bertemu
dengan Hamid, tetapi hatinya menjadi syak wasangka memikirkan badannya yang
selalu tiada sihat itu, entah akan bertemu juga entah tidak.
Alangkah beruntungnya dua orang bersahabat itu kelak, jika mereka dapat bertemu
kembali. Ya, mudah-mudahan Allah yang pengasih lagi penyayang mengkabulkan
permohonan hambaNya, Amin! Rosnah. Salinan surat Zainab Abangku Hamid! Baru
sekarang adinda beroleh berita di mana abang sekarang. Telah hampir dua tahun
hilang saja dari mata, laksana seekor burung yang terlepas dari sangkarnya
sepeninggalan yang empunya pergi. Kadang-kadang adinda sesali diri sendiri. Agaknya
adinda telah bersalah besar sehingga kekanda pergi tak memberitahu dahulu. Sayang
sekali, pertanyaan abang belum adinda jawab dan abang hilang sebelum mulutku
sanggup menyusun perkataan penjawabnya. Kemudian itu abang perintahkan adinda
menurut perintah orang tua, tetapi adinda syak-wasangka melihatkan sikap abang yang
gugup ketika menjatuhkan perintah itu. Wahai abang… . Pertalian kita diikat oleh
beberapa macam tanda Tanya dan tekateki, sebelum terjawab semuanya, kita telah
berpisah dengan tiba-tiba. Memang demikiankah kehendah takdir? Adinda sentiasa
tiada putus pengharapan, adinda tunggu khabar dan berita. Di balik tiap-tiap kalimah
daripada suratmu. Abang!....surat yang terkirim dari Medan, ketika abang akan belayar
jauh, telah adinda periksa dan adinda selidik; banyak sangat surat itu berisi bayangan,
di balik yang tersurat ada yang tersirat.
Adinda hendak membalas tetapi kearah manakah surat itu hendak adinda kirimkan,
abang hilang tak tentu rimbanya! Hanya kepada bulan purnama di malam hari adinda
bisikkan dan adinda pesankan kerinduan adinda hendak bertemu. Tetapi bulan itu tetap
tak datang; pada malam yang berikutan dan seterusnya ia kian kusut… .. hanya kepada
angin petang yang berhembusan di ranting-ranting kayu di dekat rumahku, hanya
kepadanya ku bisikkan menyuruh supaya ditolongnya memeliharakan abangku yang
berjalan jauh, entah di darat di laut entah sengsara kehausan.
Hanya kepada surat abang itu, surat yang hanya sekali itu adinda terima selama hidup
adinda tumpahkan airmata, kerana hanya menumpahkan airmata itulah kepandaian
yang paling penghabisan bagi orang perempuan. Tetapi surat itu bisu, meski pun ia
telah lapuk dalam lipatan dan telah layu kerana kerap dibaca, rahsia itu tidak juga
dapat dibukanya. Sekarang abang, badan adinda sakit-sakit, ajal entah berlaku pagi
hari entah besok petang, gerak Allah siapa tahu, besarlah pengharapanku supaya
abang dapat pulang, dapat juga hendaknya kita bertemu… .. dan jika abang terlambat
pulang, agaknya bekas tanah penggalian, bekas air penalkin dan jejak mijan yang dua,
hanya yang akan abang dapati. Adikmu yang tulus: Zainab. Wahai, akan dapatkah
dilukiskan, dapatkah diperikan bagaimana wajah Hamid ketika membaca surat itu?
Dapatkah, mungkinkah dikira-kirakan bagaimana perasaannya di waktu itu? Surat
demikian adalah pengharapannya selama ini, pengharapannya dan buah mimpinya
semasa ia masih bergaul, memikirkan kerendahan darjatnya, tiadalah disangka-sangkanya bahawa ia akan seberuntung itu, menerima surat dari Zainab, belumlah
besar kegembiraan seorang budak jika ia diajak tersenyum oleh penghulunya; belumlah
besar sukacita seorang pelayan istana jika ia dianugerahi sebentuk cincin oleh rajanya.
Surat tanda cinta dari seorang perempuan, perempuan yang mula-mula dikenal dalam
penghidupan seorang pemuda, adalah lebih berharga kepada senyuman seorang
penghulu daripada budaknya yang lebih mulia daripada sebentuk cincin yang
dianugerahkan raja kepada pelayannya. Satu hati, adalah lebih mahal daripada
senyuman, satu jiwa adalah lebih berharga daripada sebentuk cincin. Tetapi malang
kerana surat itu diterima Hamid, ketika dia telah jauh dari hadapan Zainab. Apa lagi
manusia tidak dapat menentukan nasibnya sendiri.
DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH
Pada hari kelapan Zulhijjah perintah daripada syeikh kami menyuruh menyiapkan
segala keperluan untuk berangkat ke `Arafah, kerana pada hari kesembilan akan wuquf
(Berhenti sehari lamanya) di sana. Berangkat itu ialah tiga hari setelah kami menerima
surat tersebut. Akan hal Hamid, bermula menerima surat itu tidaklah berkesan pada
mukanya, bahawa dia dipengahruhi oleh isinya, tetapi setelah sehari dua hari, kelihatan
ia termenung saja, bertambah daripada biasa, ketika kami tanyai keadaannya, ia
mengatakan, bahawa badannya terasa sakit-sakit. Tetapi oleh kerana pergi wuquf ke
`Arafah menjadi rukun daripada mengerjakan haji, tak dapat tidak ia pun mesti ikut ke
sana. Maka dipasanglah sakdup-sakdup di punggung unta yang beribu-ribu banyaknya.
Bersedia hendak membawa orang haji ke `Arafah itu. Kira-kira pukul empat petang,
jemaah-jemaah telah berangkat berduyun-duyun menuju ke `Arafah, jalan sempit dan
penuh oleh manusia dan kenderaan berbagai-bagai, ada yang mengenderai keldai,
kuda dan unta, tetapi yang paling banyak duduk dalam sakdup iaitu dua buah tandu
yang dipasang kiri kanan punggung unta. Saya bersama dengan Hamid menumpang
dalam satu sakdup.
Di `Arafah sangat benar panasnya, sehingga ketika berhenti di tempat itu sehari
lamanya, kita ingat-ingat akan berwuquf kelak di padang Mahsyar. Setelah matahari
terbenam kami kembali menuju ke Mina, berhenti sebentar di Muzdalifah memilih batu
untuk melempar " Jumrah" di Mina itu kelak. Setelah berdiam di Mina pada hari yang ke
sepuluh, ke sebelas, kedua belas, ketiga belas, bolehlah kembali ke Mekah
mengerjakan tawaf besar dan Sai`e, setelah itu bercukur, sehabis bercukur baru
disebut " haji". Pada perhentian besar di Mina itu, orang-orang yang kaya menyembelih
korban untuk fakir dan miskin. Sekarang kembali diceritakan keadaan Hamid.
Demamnya yang dibawa dari Mekah bertambah menjadi-jadi, lebih-lebih setelah
mendapat hawa yang panas di `Arafah itu. Di sana banyak orang yang mati kerana
kepanasan. Hamid tak mahu lagi makan, badannya sangat lelah, sehingga seketika
berangkat ke Mina ia tiada sedarkan dirinya, demi melihat hal itu, jantung saya
berdebar-debar, saya kasihan kepadanya. Kalau-kalau di tempat itulah dia akan
bercerai buat selama-lamanya dengan kami, lebih-lebih melihat mukanya yang sangat
pucat dan badannya yang sangat lemah. Setelah selesai penyembelihan besar itu, pada
hari yang ke sebelas kami berangkat ke Mekah, iaitu mengerjakan rukun yang agak
cepat, tidak menunggu sampai tiga hari. Sebelum mengerjakan tawaf besar itu, lebih
dahulu kami singgah ke rumah kami. Kerana penyakit Hamid rupanya bertambah berat,
terpaksalah kami mencarikan orang Badwi upahan, yang biasanya menerima upah
mengangkat orang sakit mengerjakan tawaf.
Sebelum Hamid diangkat ke atas bangku itu, yang diberi hamparan daripada kulit
dahan kurma berjalin, khadam syeikh datang terburu-buru menghantarkan sepucuk
surat dari Sumatera, setelah kami buka, ternyata datangnya dari Rosnah. Muka Salleh
menjadi pucat,jantung saya berdebar-debar membaca isinya yang tiada sangka-sangka,
Zainab telah meninggal, surat menyusul, Rosnah. Setelah dibacanya dengan sikap yang
sangat gugup Salleh menyimpan surat kawat itu ke dalam sakunya, sambil memandang
kepada Hamid dengan perasaan yang sangat terharu. Tiba-tiba dari tempat tidurnya
Hamid kedengaran berkata; " Surat apakah yang tuan-tuan terima? Apakah sebabnya
tuan-tuan sembunyikan daripadaku? Adakah ia membawa duka atau khabar suka? Jika
ia khabar suka, tidakkah patut saya diberi sedikit saja daripada kesukaan itu? Kalau
khabar itu mengenani diri saya sendiri lebih baik tuan-tuan terangkan kepada saya
lekas-lekas, tidaklah patut tuan-tuan sembunyikan lama-lama jangan dibiarkan saya di
dalam sakit menanggung perasaan yang ragu-ragu." " Tenagkanlah hatimu, sahabat!
Kehendak Allah telah berlaku, ia telah memanggil orang yang dicintaiNya ke
hadratNya." " Oh, jadi Zainab telah dahulu daripadaku? " tanyanya pula. " Ya,
demikianlah, sahabat!" Mendengar jawapan itu kepanya tertekun, ia menarik nafas
panjang, dari pipinya meleleh dua titik airmata yang panas. Tidak beberapa saat
kemudian, datanglah Badwi tersebut membawa tandu yang kami pesan, Hamid pun
dipindahkan ke dalam dan diangkat dengan segera menuju Masjidil Haram, saya dan
Salleh mengiringkan di belakang menurut Badwi yang berjalan cepat itu.
Setelah sampai di dalam masjid, dibawalah dia tawaf keliling Ka`bah tujuh kali. Ketika
sampai yang ke tujuh kali diisyaratkannya kepada Badwi yang berdua itu menyuruh
menghentikan tandunya di antara pintu Ka`bah dengan batu hitam, di tempat yang
bernama Maltezam, tempat segala doa yang makbul. Orang lain tawaf pula berdesak-desak. Dengan sifat sabar orang-orang Badwi mengangkat tandu ke dekat tempat yang
tersebut. Hati saya sangat berdebar melihatkan keadaan itu, saya lihat muka Hamid, di
sana sudah nampak terbayang tanda-tanda kematian. Sampai di sana dihulurkannya
tangannya, dipegangnya kesoh kuat dengan tangannya yang telah kurus, seakan-akan
tidak akan dilepaskannya lagi. Saya dekati dia, kedengaran oleh saya dia membaca doa
demikian bunyinya: " Ya Rabbi, ya Tuhanku, Yang Maha Pengasih dan Penyayang, di
bawah lindungan Ka`bah, rumah Engkau yang suci dan terpilih ini, saya menadahkan
tangan memohon kurnia. Kepada siapa lagi yang saya akan pergi memohon ampun,
kalau bukan Engkau ya Tuhanku! Tidak ada suatu tali pun tempat saya bergantung, lain
daripada tali Engkau, tidak ada pintu yang akan saya tutup, lain daripada pintu Engkau.
Berilah kelapangan jalan buat saya, saya hendak pulang ke hasrat Engkau; saya
menuruti orang-orang yang dahulu daripada saya, orang-orang yang bertali hidupnya
dengan hidup saya. Ya Rabbi, Engkaulah Yang Maha Kuasa, kepada Engkaulah kami
sekalian akan kembali… .." Setelah itu suaranya tidak kedengaran lagi; di mukanya
terbayang suatu cahaya muka yang jernih dan damai, cahaya keredhaan daripada Ilahi.
Di bibirnya terbayang suatu senyuman dan… .sampailah waktunya lepaslah ia daripada
tanggungan dunia yang amat berat ini, dengan keizinan Tuhannya, di bawah lindungan
Ka`bah! Pada hari itu selesailah mayat sahabat yang dikasihi itu dimakamkan di
perkuburan Ma`ala yang masyhur.
SURAT ROSNAH YANG MENYUSUL
Dua minggu sudah kejadian itu, datanglah surat Rosnah yang dijanjikannya kepada
suaminya itu, demikian bunyinya:
" Kekanda yang tercinta!
" Adinda kirimkan surat ini menyusul surat kawat yang dahulu. Zainab meninggal.
Apakah dari itu lagi yang harus adinda nyatakan? Dia telah menanggung penyakit
dengan sabar dan tawakkal, mula-mula adinda hendak sampaikan khabar ini kepada
Hamid, sebab sentiasa Hamid menjadi buah mulutnya sampai saatnya yang
penghabisan, tiba-tiba kawat kekanda datang pula, Hamid telah menyusul kekasihnya.
Demikianlah kedua makhluk yang tidak beruntung nasibnya itu, mudah-mudahan
arwahnya mendapat bahagia di akhirat. Adinda harus mengaku, bahawa jarang sekali
kita bertemu dengan seorang perempuan sebagai Zainab. Tidak ada orang yang tahu
tentang keadaan dirinya, kecuali ibunya dan adinda. Pendengaran yang sampai
kepadanya, bahawa Hamid ada di Mekah mengobarkan kembali akan api yang telah
hampir padam. Lima hari sebelum ia meninggal dunia, pagi-pagi benar dia sudah
bangun dari tempat tidurnya, mukanya lebih jernih dari biasa.
Dengan senyum dia berkata, bahawa dia bermimpi melihat Ka`bah, dantara manusia
yang sedang tawaf.
Dia melihat Hamid melambaikan tangannya memanggil dia, supaya mendekatkan
kepadanya, setelah dia mendekat dia terbangun… .. Lepas hari itu, tidak banyak bicara
lagi, doktor pun datang juga memeriksai dia, tetapi ketika melihat wajahnya,
mengertilah adinda, bahawa ubat yang dibawanya sebenar-benarnya ialah buat ibu
Zainab, tidak buat Zainab lagi, sebab di tangga ketika dia akan pulang, jelas benar oleh
adinda doktor itu menggeleng-gelengkan kepalanya. Pada malam 9 Zulhijjah panasnya
naik daripada biasa. Kira-kira pukul dua tengah malam, dipandangnya adinda tenang-tenang, kemudian dilihatnya pula buku album yang terletak di meja tulisnya; adinda
pun mengertilah apa yang dimaksudkannay.
Adinda ambil album itu dan adinda buka. Demi dilihatnya gambar Hamid, jatuhlah dua
titis airmata yang bulat dari mata yang telah cekung itu. Setelah itu diambilnya tangan
ibunya, dibawanya ke dada. Maka dengan beransur-ansur, laksana lampu yang
kehabisan minyak, bercerailah badannya dengan sukmanya. Kekanda, demikianlah
kematian zainab, dan sekarang suatu pula yang menjadikan was-was adinda, iaitu
keadaan ibunya, bagaimanakah kelak perasaan perempuan itu kerana kehilangan
anaknya.
Sekianlah dan buat semangat orang yang telah mati, adinda kirimkan salamku dan
moga kekanda lekas pulang.
Adindamu Rosnah
PENUTUP
Kian lama kian sunyilah tanah Mekah. Bukit-bukit yang telah gondola itu tegak dengan
teguhnya laksana pengawal yang menyaksikan dan menjagai orang haji yang beransur
pulang ke kampong masing-masing. Kedai-kedai kian sudah tutup, sebab 6 bulan pula
lamanya pasar akan sepi. Tidak putus-putus unta berarak-arak diiringkan oleh
gembalanya bangsa Badwi sambil bernyanyi-nyanyi. Sehari sebelum kami meninggalkan
Mekah, pergilah kami berziarah ke perkuburan Ma,ala tempat Hamid dikuburkan.
Di sana masih bertemu kesannya, meskipun agak sukar mencarinya, sebab telah
banyak pula orang lain yang berkubur. Saya hadapkan muka saya ke pusara itu dan
saya berkata: " Penghidupanmu yang tiada mengenal putus asa, kesabaran dan
ketenangan hatimu menanggung sengsara, dapatlah menjadi tamsil dan ibarat kepada
kami. Engkau telah mengambil jalan yang lurus dan jujur di dalam memupuk dan
mempertahankan cinta. " Allah adalah Maha adil, jika sempit bagimu dunia ini berdua,
maka alam akhirat adalah lebih lapang dan luas, di sanalah kelak makhluk menerima
balasan dari kejujuran dan kesabarannya; di sanalah penghidupan yang sebenarnya,
bukan mimpi dan bukan khayalan.
" Kami pun dalam menunggu titah pula, sebab ada masanya datang dan ada masanya
pergi. " Selamatlah, moga-moga Allah memberi berkat atas jiwamu dan jiwa Zainab."
Pukul empat petang kami tawaf keliling Ka`bah " Tawaf Wida" ertinya tawaf selamat
berpisah. Sehari itu juga kami akan berangkat ke Juddah. Saudaraku Salleh belayar
dengan kapal yang menuju ke Mesir…… Dan kapalku memecahkan ombak dan
gelombang menuju ke tanahair yang tercinta……… ..
TAMAT
" Dalam kerendahan diri, ada ketinggian budi,
" Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa,
" Dalam kesempitan hidup, ada keluasan ilmu,
" Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah S.W.T.
* Penulis : Haji Abdul Malik Karim Abdullah (HAMKA) *
Tajuk : Dipetik dari buku Dibawah Lindungan Kaabah. * Cetakan : Pustaka Antara

Artikel Terkait :


0 comments:

:X ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

 

Followers